Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas dan Biro Perekonomian MPK Kilanas buat julung kalinya akan menganjurkan Ekspo Makanan dan Pengguna Antarabangsa 2017 (IFACE) bersekala besar pada penghujung Disember ini.
IFACE yang akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan makanan daripada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa itu akan berlangsung selama empat hari bermula 27 hingga 31 Disember 2017 di Pusat Persidangan BRIDEX, Jerudong.
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Biro Ekonomi, MPK Kilanas, Awang Mohd Hasmawi bin Mohd Ghani pada sidang media di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, ekspo itu nanti adalah yang ketujuh dianjurkan oleh MPK Kilanas tapi kali ini, ia membawakan konsep berbeza daripada ekspo sebelum ini di mana ia memberi peluang meluas kepada peniaga dan belia untuk menyertainya.
Antara lain tujuan ekspo tersebut adalah untuk mengumpulkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang bukan saja dari dalam negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa di samping menyokong dan memberikan peluang kepada belia yang baru saja menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Dengan adanya ekspo ini, jelasnya, ia sekali gus dapat menggalakkan penduduk di negara ini untuk berbelanja dalam negara sendiri.
“Lebih 300 petak akan disediakan untuk IFACE ini dan ia masih membuka peluang kepada peniaga yang berminat untuk menyertai dalam ekspo tersebut sehingga 10 Disember 2017 ini,” tambahnya.
Selain membeli-belah di ekspo tersebut, jelasnya, pelbagai aktiviti sampingan telah dirancang bagi memeriahkan lagi suasana antaranya kempen derma darah oleh Unit Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Seminar Keusahawanan oleh usahawan berjaya dari Malaysia dan banyak lagi.
Sehubungan itu, peniaga dan belia yang berminat untuk menyertai ekspo berkenaan boleh menghubungi talian 8188473, 8760104 atau 8936713 untuk keterangan lanjut.
Ekspo berkenaan dikendalikan oleh De’Indera Event and Entertainment Management dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.