Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Inovasi digital adalah amat penting bagi Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk mengekalkan kelebihan kompetitifnya dan memenuhi keperluan pelanggan serta mencapai tahap perkhidmatan yang tinggi dengan selamat.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dalam kata alu-aluannya semasa Pelancaran Ekspo Inovasi Digital Olive yang berlangsung di The Mall, Gadong, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Projek Olive merupakan sebuah platform bagi keseluruhan Kumpulan BIBD untuk membangunkan lebih banyak perkhidmatan dan produk perbankan Islam yang unik, memperbaiki proses melalui automasi proses pintar di mana ia setentunya akan memberikan manfaat kepada pelanggan mereka.
Awang Junaidi berkata, lebih banyak inovasi digital sedang dibangunkan oleh pasukan Projek Olive untuk memenuhi sasaran bagi melancarkan Olive di peringkat BIBD menjelang 2025.
Beliau menyatakan lagi bahawa sejak pelancaran Olive pada Julai lalu, lebih 21,000 pelanggan telah berjaya untuk mendaftar bagi perkhidmatan berkenaan dengan BIBD At-Tamwil menyatakan aspirasi untuk mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pelanggannya mendaftar bagi platform digital Olive menjelang 2024 dan 90 peratus menjelang 2025.
Beliau turut mendedahkan bahawa syarikat berkenaan juga menyaksikan perkembangan positif daripada segi bahagian pasaran dengan maklum balas yang positif daripada pelanggan di mana semua itu mencerminkan pentingnya inovasi digital bagi Kumpulan
BIBD.
Awang Junaidi turut menyatakan penghargaan kepada Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bagi sokongan berterusan kepada inovasi kewangan supaya kekal maju dalam persekitaran pengawalseliaan yang kondusif.
Ekspo Inovasi Digital Olive berlangsung selama empat hari hingga 15 Oktober di mana ia menyaksikan penyertaan dari Bank BIBD dan BIBD Securities serta syarikat-syarikat kenderaan dan penjual produk pengguna.



