Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Sempena memperingati penubuhan Jabatan Penjara ke-71, Jabatan Penjara Negara Brunei Darussalam menganjurkan Ekspo Pameran dan Jualan Produk INSAF, yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, 3 Julai sehingga 6 Julai di Onecity Shopping Centre, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan ekspo berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.

Beliau turut meluangkan masa melawat petak-petak jualan dan pameran yang mengetengahkan pelbagai hasil tangan Rakan Seliaan (RS) Jabatan Penjara.
Turut hadir ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta wakil-wakil agensi berkaitan.
Ekspo tahunan anjuran Jabatan Penjara merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam menyokong proses pemulihan dan pengintegrasian semula RS ke dalam masyarakat melalui platform keusahawanan dan latihan vokasional.
Antara produk yang dipamerkan adalah barangan rumah seperti meja seterika, meja bilik tamu, rak serbaguna, set penyalaian dan pelbagai perabot serta kraftangan hasil program perusahaan oleh banduan di institusi-institusi Jabatan Penjara.
Ekspo kali ini turut menampilkan penyertaan beberapa RS yang telah menamatkan hukuman termasuk Dayang Vivianti binti Mohd Jalil dan Dayang Mastunah binti Haji Rabaie yang berkongsi pengalaman mereka sebagai peserta ekspo berkenaan.
“Penyertaan dalam ekspo jualan ini sangat membantu saya untuk menyara kehidupan seharian. Walaupun sudah bebas, saya masih boleh meneruskan kemahiran yang saya pelajari semasa dalam pemulihan,” kata Dayang Vivianty, yang kini aktif menghasilkan produk kraftangan.
Dayang Mastunah pula menyatakan bahawa platform seumpama ini memberi harapan baru dan membina keyakinan diri untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Kami bukan lagi seperti dahulu. Melalui latihan dan bimbingan semasa dalam Jabatan Penjara, kami belajar bahawa setiap orang layak untuk berubah dan diberi peluang kedua,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.
Menurut Jabatan Penjara, tujuan utama ekspo tersebut adalah untuk memperkenalkan hasil produk perabot dan kraftangan daripada para banduan dan RS; memberigakan kepada masyarakat umum tentang program-program pemulihan melalui latihan kemahiran dan vokasional; mengukuhkan hubungan kerjasama antara masyarakat dan Jabatan Penjara serta memberi peluang kepada RS mempromosi produk mereka secara terbuka ke arah membina kehidupan baharu yang lebih stabil.
Ekspo ini sebelum ini pernah dianjurkan di pelbagai lokasi termasuk Dermaga Diraja, Times Square, Airport Mall, One Station dan Rimba Point dengan sokongan meluas daripada pelbagai agensi dan pihak luar.
Dengan adanya pameran seperti ini, masyarakat berpeluang untuk melihat sendiri hasil usaha pemulihan dan menyokong produk tempatan yang berkualiti, di samping memainkan peranan penting dalam membina semula kehidupan bekas banduan melalui integrasi positif dan produktif.






