Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo kerjaya buka peluang golongan OKU

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan termasuk 66 jawatan yang dibukakan khusus bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) ditawarkan oleh lebih 50 buah syarikat swasta daripada pelbagai sektor semasa Ekspo Kerjaya 2023 yang berlangsung di Pusat Membeli-belah OneCity.

    Dianjurkan oleh Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM), ekspo berlangsung sehingga 22 Oktober dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

    Majlis perasmiannya telah disempurnakan hari ini oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad yang juga ahli MPEC.

    Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad dalam ucapan alu-aluannya mengongsi bahawa Sekretariat Tetap MPEC melalui JobCentre Brunei (JCB) telah melaksanakan beberapa inisiatif dan program untuk memudahkan pasaran kerja yang inklusif dan progresif.

    Di samping itu, ia juga membantu pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan serta membolehkan syarikat-syarikat untuk mengakses tenaga kerja yang diperlukan untuk pembangunan masing-masing.

    Beliau menambah, antara lain inisiatif yang dijalankan termasuk program pendekatan (outreach), penyediaan perkhidmatan JCB di daerah-daerah, perkhidmatan pemadanan pekerjaan (job-matching) dan kempen pengambilan.

    Majlis diteruskan dengan perasmian ekspo dan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat yang ikut serta oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Yang Berhormat Dato seterusnya diberikan penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat pameran-pameran oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa meninjau salah satu petak pameran yang menyertai Ekspo Kerjaya di Pusat Membeli-belah OneCity. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara syarikat swasta yang menyertai ekspo berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda