Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo ketengah produk perkayuan tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan telah menganjurkan Ekspo Produk Perkayuan Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa 2024 selama empat hari bermula hari ini.

    Ekspo yang diadakan di One City itu telah dirasmikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir pada majlis perasmian itu, Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dan Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim.

    Pada perasmian ekspo berkenaan, Pemangku Pengarah Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya selaku pengerusi majlis, antara lain mengongsikan objektif utama ekspo untuk mempromosikan produk-produk perkayuan yang dihasilkan oleh syarikat tempatan.

    Objektifnya adalah untuk memberikan pendekatan kepada orang ramai mengenai produk perkayuan tempatan yang berkualiti tinggi; pemadanan perniagaan di antara pengusaha-pengusaha perkayuan; mengetengahkan produk-produk hiliran perkayuan tempatan untuk dijual di kedai-kedai perabot dan untuk menggalakkan keluaran produk perkayuan tempatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir selaku tetamu kehormat semasa ekspo berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Gambar ramai para peserta yang menyertai ekspo tersebut bersama tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara hasil produk tempatan yang dipamerkan semasa ekspo tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis kemudian menyaksikan perasmian ekspo dan pelancaran logo Brunei Wood Product oleh tetamu kehormat majlis.

    Penggunaan logo Brunei Wood Product merupakan inisiatif Jabatan Perhutanan dalam memperkenalkan hasil produk kayu keluaran tempatan dan memberi pendekatan kepada orang ramai mengenai produk perkayuan tempatan yang berkualiti tinggi.

    Katanya lagi, “Dengan penggunaan logo ini, ia akan dapat mengangkat lagi imej produk-produk perkayuan tempatan di peringkat nasional dan juga antarabangsa, dengan penekanan dibuat ke atas penggunaan bahan kayu yang dibekalkan dari sumber hutan yang mampan dan boleh dikesan sumbernya.”

    Beliau turut menjelaskan, dalam usaha menggalakkan penghasilan produk perabot kayu tempatan yang berkualiti dan kreatif, pihak Jabatan Perhutanan juga terus menganjurkan pertandingan pembuatan perabot.

    “Pertandingan kali ini memfokuskan kepada produk-produk yang berkaitan dengan kegunaan sekolah dan juga bilik belajar,” jelasnya.

    Selain mengongsikan, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori A adalah bagi pembuatan satu set kerusi dan meja pelajar yang dibukakan kepada syarikat-syarikat perkilangan papan dan syarikat-syarikat hiliran perkayuan yang berdaftar di Jabatan Perhutanan.

    “Manakala Kategori B pula melibatkan pembuatan set almari atau rak buku yang dibukakan kepada pengusaha-pengusaha mikro produk perkayuan tempatan,” tambahnya.

    Di majlis itu, Yang Berhormat Dato melawat petak-petak pameran daripada Jabatan Perhutanan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Bank Usahawan dan syarikat-syarikat pembuatan produk perkayuan tempatan yang menyertai ekspo tersebut iaitu sebanyak 21 buah syarikat.

    Turut disaksikan adalah produk-produk perabot kayu tempatan yang dipertandingkan bagi Pertandingan Pembuatan Perabot Kayu sempena Hari Hutan Antarabangsa 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan, KSSUP.

    Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan pembuatan perabot kayu akan diadakan pada 19 Oktober ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda