VIENTIANE, 13 DIS – Ekspo Makanan dan Pertanian Laos 2024 akan diadakan di ibu negara Laos, Vientiane, bagi mempromosikan pengeluaran pertanian mampan di negara itu serta menyokong pelaksanaan piawaian makanan utama.
Menurut laporan Kementerian Pertanian dan Perhutanan Laos hari ini, ekspo tersebut bertujuan menggalakkan para petani tempatan menghasilkan produk yang selamat dan bebas bahan kimia, di samping mempromosikan barangan organik mereka kepada para pengguna.
Ekspo berkenaan akan menampilkan pelbagai acara termasuk pameran produk, transaksi perniagaan, rangkaian secara langsung dan persidangan perniagaan agro.
Ia dianggap sebagai platform penting untuk meningkatkan pengeluaran pertanian di Laos, berfungsi sebagai pemacu ke arah kerjasama yang lebih erat, perindustrian dan kemampanan sektor tersebut.
Acara itu juga diharap dapat mempromosikan pertanian industri melalui teknik moden dan amalan mampan yang bersepadu, bagi memastikan keselamatan makanan dan meningkatkan eksport ke pasaran serantau serta antarabangsa. – Xinhua