Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo Osaka diharap dapat satukan dunia

    OSAKA, 13 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, dalam ucapan semasa majlis pembukaan Ekspo Osaka kelmarin, menyatakan harapannya agar acara itu dapat membantu memulihkan perpaduan global dalam dunia yang dilanda konflik dan perang perdagangan.

    “Dunia, setelah berjaya mengharungi pandemik koronavirus, kini diancam pelbagai bentuk perpecahan,” kata Ishiba. “Pada waktu seperti ini, adalah sangat bermakna apabila orang dari seluruh dunia berkumpul di sini untuk membincangkan tema kehidupan serta mengalami teknologi terkini, idea dan budaya yang pelbagai.”

    Ekspo 2025 Osaka dibuka secara rasmi hari ini, dengan tema kehidupan, dunia dan masa depan, dan Jepun berharap dapat membawa mesej perpaduan serta menggambarkan sebuah masyarakat masa depan.

    Namun begitu, sambutan terhadap acara tersebuet sedikit terjejas akibat ancaman tarif yang terbaharu daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menambah lagi ketegangan dan ketidakpastian global, ditambah pula dengan peperangan Rusia di Ukraine dan konflik yang berlarutan di Timur Tengah.

    Merujuk kepada struktur kayu ikonik berbentuk jejaring yang dinamakan ‘Grand Ring’, yang melambangkan perpaduan dan mengelilingi tapak ekspo, Ishiba berkata, “Saya benar-benar berharap dunia akan kembali bersatu melalui interaksi antara negara dan para pengunjung di dalam dan luar gelang ini.”

    Struktur gelang yang mahal itu merupakan struktur seni bina kayu terbesar di dunia, dengan ketinggian 20 meter dan lilitan sepanjang 2 kilometer. – AP

    Shigeru Ishiba berucap semasa majlis pembukaan Ekspo Osaka 2025 di Osaka, barat Jepun, pada 12 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda