Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), kelmarin telah menamatkan penyertaan dalam Ekspo Pelancongan Jepun 2024 di Tokyo Big Sight, Tokyo, Jepun.
Ekspo yang berlangsung dari 26 hingga 29 Sepetember itu dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pelancongan Jepun (JATA), dengan penyertaan lebih 150 negara dan wilayah yang menyediakan platform yang sangat baik untuk rangkaian dan membentuk hubungan perniagaan baharu dalam industri pelancongan global.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan membina perkongsian baharu, JKP dengan sokongan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo juga telah mengadakan seminar pada awal minggu yang mana ianya direka untuk berkongsi strategi pemasaran dengan berkongsi tarikan unik Brunei kepada pelancong Jepun.
Lebih 40 agensi termasuk wakil dari universiti dan organisasi media, terutama dari Jepun telah menghadiri sesi berkenaan yang antara lain bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong Jepun untuk menerokai Abode of Peace.
Turut hadir di ekspo berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Pemangku Setiausaha Tetap Kedua, Dayang Noralinda binti Ibrahim bersama pegawai dari JKP dan pihak Kedutaan Brunei Darussalam di Jepun.
Wakil dari agensi pelancongan Brunei juga berpeluang menyampaikan tawaran mereka kepada rakan dari Jepun sebelum ini meneruskan sesi rangkaian, memupuk kerjasama antara Brunei dan agensi Jepun.
Melalui ekspo berkenaan, JKP telah menerima respon positif daripada peserta dan beberapa agensi sudah mempromosikan Brunei dengan berkongsi maklumat pemasaran yang disampaikan manakala ejen baharu pula menyatakan minat yang kuat untuk bekerjasama dengan Brunei dan mengadakan perbincangan yang produktif dengan agensi-agensi Brunei.
Sementara itu, beberapa tempahan daripada ejen Jepun juga telah disahkan untuk ke Brunei pada November ini.
Penyertaan Brunei tahun ini telah mencerminkan usaha berterusan Brunei untuk mengukuhkan kehadiran Brunei dalam pasaran Jepun dan menggalakkan lebih ramai pelancong untuk menerokai pengalaman unik yang ditawarkan di negara ini.
JKP untuk langkah seterusnya akan menganjurkan familiarization untuk ejen pelancongan Jepun yang terlibat dengan wakil Brunei semasa ekspo berkenaan.
Inisiatif itu antara lain bertujuan untuk menyediakan ejen-ejen dengan pengalaman langsung tarikan Brunei, di samping mengukuhkan lagi perkongsian dan meningkatkan keupayaan untuk mempromosikan Brunei sebagai destinasi dalam pasaran Jepun.