Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan oleh 211 buah syarikat tempatan semasa Ekspo Produk Tempatan 2022, sempena Festival Disember Brunei (BDF) ke-6, yang berlangsung di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong, bermula hari ini sehingga 4 Disember.
Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, ekspo berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha-pengusaha tempatan mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk secara langsung kepada pembeli.
Selain itu, ia juga mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk atau barangan yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan serta memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menjana pendapatan.
Ia sekali gus meningkatkan dan mengembang majukan rangkaian perniagaan melalui taklimat dan seminar keusahawanan serta aktiviti-aktiviti networking.
Ekspo berkenaan turut disertai oleh majlis-majlis perundingan kampung (MPK) yang mempromosikan produk-produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan ekspo, sesuai untuk seisi keluarga seperti skating, kuiz, pertandingan makan, demonstrasi produk-produk dan lain-lain.
Ia turut disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Datastream Digital Sdn Bhd, Brunei Methanol Company (BMC), Royal Brunei Culinary (RBC) dan Brunei Halal.
Pelancaran ekspo berkenaan juga menandakan bermulanya festival yang dinanti-nantikan ramai yang menawarkan pelbagai acara dan aktiviti menarik sepanjang musim cuti persekolahan ini.
