Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang diketengahkan oleh pengusaha tempatan sambil menyokong perusahaan tempatan semasa Ekspo Produk Tempatan 2024 yang berlangsung di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong bermula hari ini, 28 November hingga 1 Disember.
Ekspo Produk Tempatan 2024 bersempena Pesta Disember Brunei ke-8 dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei melalui Darussalam Enterprise (DARe).
Sehubungan dengan itu, Pelancaran Ekspo Produk Tempatan 2024 diadakan di BRIDEX, Jerudong, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat bersama dan menyempurnakan pelancaran ekspo berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan, para penaja serta pegawai-pegawai eksekutif dari agensi-agensi terlibat.
Ekspo itu merupakan satu usaha pihak kerajaan dalam menyediakan platform bagi syarikat-syarikat dan pengusaha-pengusaha tempatan mempromosikan serta meluaskan lagi pasaran produk masing-masing secara langsung kepada pembeli.
Ia juga bermatlamat untuk mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan, memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat untuk menjana pendapatan serta peluang mengadakan sesi rangkaian dan pemadanan perniagaan antara pembekal dan pemborong untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan yang sedia ada.
Lebih daripada 200 buah syarikat mengambil bahagian dalam ekspo selama 4 hari berkenaan bagi mempromosikan dan menjual pelbagai produk serta perkhidmatan keluaran tempatan yang terdiri daripada produk pertanian dan agrimakanan, perniagaan, kewangan dan perbankan, pembinaan dan reka bentuk dalaman, produk dan perkhidmatan hiliran, perikanan dan pemprosesan ikan, makanan dan minuman, pelancongan dan hospitaliti, pengangkutan dan logistik, produk perkayuan, produk kreatif, perkhidmatan pendidikan, fesyen dan pakaian serta teknologi dan info komunikasi (ICT).
Turut diadakan ialah beberapa sesi taklimat yang bermanfaat kepada para pengusaha dan orang ramai khususnya untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang peluang-peluang perniagaan dan keusahawanan, penjenamaan dan pemasaran, kod pemasaran makanan dan minuman yang berhemah kepada kanak-kanak, garis panduan permohonan lesen-lesen alat menangkap ikan dan lain-lain.
Selain daripada itu, beberapa aktiviti harian turut diadakan dengan peluang untuk memenangi hadiah menarik serta sesi tunjuk cara antaranya tunjuk cara pembiakan pokok buah-buahan, rice sensory taste dan lain-lain bersesuaian untuk keluarga turut disediakan di sepanjang ekspo empat hari berkenaan.
Majlis pelancaran ekspo menandakan bermulanya pesta yang dinanti-nantikan orang ramai iaitu Pesta Disember Brunei Disember ke-8 yang merupakan acara tahunan KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan tujuan untuk menggalakkan rakyat dan orang ramai bercuti dan berbelanja sekali gus mempromosikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Ekspo Produk Tempatan 2024 disokong bersama oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), BMC Food Industries Sdn Bhd dan Sim Kim Huat (SKH) serta syarikat imagine Sdn Bhd yang juga selaku pembekal perkhidmatan telekomunikasi rasmi bagi ekspo itu.
Ekspo Produk Tempatan 2024 dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula pada hari ini, 28 November hingga 1 Disember, dari pukul 9 pagi sehingga pukul 9 malam. Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai ekspo berkenaan boleh mendapatkannya di laman media sosial instagram localproductexpo.bn.