Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo Produk Tempatan bakal kembali 28 Nov ini

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Ekspo Produk Tempatan 2024 bersempena Pesta Disember Brunei ke-8 kembali lagi selama empat hari pada 28 November hingga 1 Disember di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong.

    Ekspo anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei melalui Darussalam Enterprise (DARe) itu adalah salah satu usaha untuk menyediakan platform bagi pengusaha tempatan mempromosikan dan mengetengahkan produk mereka kepada orang ramai.

    Ekspo itu juga bermatlamat untuk mengembangkan lagi pasaran produk secara langsung kepada pembeli, mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk atau barangan yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan, memberi peluang kepada pengusaha untuk menjana pendapatan serta menubuhkan rangkaian dan pemadanan perniagaan dengan pengusaha lain.

    Seperti mana pada tahun lepas, ekspo 2024 akan memperlihatkan produk-produk dan perkhidmatan tempatan di bawah 13 kategori iaitu Pertanian dan Agrimakanan, Perniagaan, Perbankan dan Kewangan, Pembinaan dan Hiasan Dalaman, Produk dan Perkhidmatan Hiliran, Perkhidmatan Pendidikan, Perikanan dan Pemprosesan Makanan Laut, Makanan dan Minuman, Pelancongan dan Hospitaliti, Telekomunikasi dan Produk Kreatif, Pengangkutan dan Logistik, Fesyen dan Pakaian, Produk Perkayuan serta lain-lain.

    Selain mengadakan pameran produk dan perkhidmatan oleh pengusaha tempatan, ekspo itu menjangkakan penglibatan Agensi Combat Enterprise untuk menyajikan aktiviti aksi pertempuran buat pelawat sepanjang tempoh ekspo itu.

    Sementara itu, Icarus Sdn Bhd juga turut serta dengan menyediakan aktiviti melompat di trampolin yang sesuai untuk seisi keluarga, manakala, Biofield Solutions dan Shaliz Waste Recycling Sdn Bhd akan terlibat sama dalam aspek kelestarian, bertujuan untuk mengurangkan pembaziran sisa makanan sepanjang acara itu berlangsung nanti.

    Penyertaan bagi ekspo berkenaan, kini dibukakan kepada semua pengusaha produk tempatan yang berminat untuk menyertai ekspo dengan tarikh tutup bagi menghadapkan permohonan lengkap pada 14 November, jam 5 petang.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda