SHANGHAI, 23 APRIL – Ekspo kereta terbesar dunia bermula hari ini di Shanghai, mempamerkan barisan kenderaan elektrik (EV) baharu dunia walaupun sekatan perdagangan yang semakin meningkat berisiko menjejas cita-cita global China.
Dengan hampir 1,000 pempamer hadir, pembuat kereta asing tidak sabar-sabar untuk menunjukkan bahawa mereka boleh bersaing dengan syarikat amat kompetitif China yang menguasai sektor itu.
Bersaing untuk meningkatkan jualan yang merosot dalam pasaran yang pernah mereka kuasai, syarikat Jerman hari ini mempromosi diri mereka sebagai membangunkan kereta di China untuk China.
Volkswagen, kumpulan asing terbesar yang beroperasi di negara itu, melancarkan beberapa siri EV baharu dan sistem bantuan pemandu yang dibangunkan khas untuk ekosistem digital China.
Kumpulan itu berkata ia akan melancarkan lebih daripada 20 model EV dan hibrid untuk negara menjelang 2027.
Di petak BMW, seorang eksekutif asing mengadakan perbualan dalam bahasa Mandarin dengan pembantu kecerdasan buatan (AI), sebelum Ketua Pegawai Eksekutif, Oliver Zipse naik ke atas pentas dalam SUV putih futuristik daripada siri Neue Klasse yang akan datang.
Versi berasingan yang disesuaikan khusus untuk China akan dilancarkan tahun depan.
“Di petak BMW kami akan terus menyokongpasaran terbuka,” kata Zipse sambil menambah cabaran global memerlukan kerjasama semua pihak dengan merujuk kepada kebimbangan perdagangan yang dicetuskan oleh pentadbiran Trump. – AFP
