Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dengan tema ‘Memperkasa Muallafprenuers’, Ekspo Souq Al-Qudwah 2.0 membuka tirainya hari ini di The Atrium, Airport Mall, Berakas di mana ia akan berlangsung selama empat hari hingga 1 Ogos ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian ekspo ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Ekspo Souq Al-Qudwah 2.0 tersebut dianjurkan oleh Konsortium Muallafpreneurs melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi bersama ekspo berkenaan, menjelaskan bahawa ekspo tersebut merupakan kali kedua diadakan yang mana pada kali pertama, dianjurkan pada 2019 di kawasan letak kereta Bangunan Darul Huda PDI.
Ekspo bertujuan untuk menyediakan platform rangkaian jualan dan strategi pasaran, di samping untuk memberi peluang pembangunan kapasiti jati diri serta pengupayaan keusahawanan mandiri dalam kalangan komuniti sasaran khasnya asnaf mualaf dan juga kepada golongan asnaf penerima zakat yang lain seperti asnaf fakir dan miskin.
Ekspo juga menitikberatkan konsep perubahan mindset dalam kalangan penerima zakat dan penerima bantuan kebajikan supaya mereka tidak akan senantiasa terus bergantung kepada agihan wang zakat dan bantuan kebajikan sepenuhnya, sekali gus menjadikan mereka golongan yang berupaya dan berjaya.
Dalam hal ini, tambah beliau, PDI melihat penganjuran Ekspo Souq Al-Qudwah itu boleh menjana minat golongan asnaf penerima zakat khasnya asnaf mualaf.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Muhammad Yusri bin Haji Wahsalfelah selaku pengerusi bersama majlis mengucapkan tahniah kepada para usahawan yang ikut serta dalam ekspo kali ini.
“Dengan iringan doa semoga para usahawan yang terdiri daripada Konsortium Muallafprenuers dan usahawan-usahawan jemputan akan menjadi usahawan yang berjaya dan memiliki nilai-nilai murni Islam,” tambah beliau.
Majlis diteruskan lagi dengan penyerahan sumbangan ‘Buku Bimbingan Asas Fardhu ‘Ain (Siri Pengenalan Islam Bagi Mualaf)’ daripada BIBD diikuti dengan majlis perasmian Souq Al-Qudwah dan kemudian menyaksikan jualan-jualan, pameran dan beramah mesra dengan peserta ekspo.
Antara usahawan yang menyertai ekspo jualan berkenaan ialah Konsortium Muallafpreneurs, Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Persatuan Jabatan Penjara (INSAF).
Selain daripada pameran dan jualan-jualan produk daripada para usahawan, berbagai-bagai acara telah diatur antaranya Forum Souq Al-Qudwah, Taklimat BIBD dan sesi kongsi sama bersama mualaf.
Selain itu, aktiviti-aktiviti seperti peraduan menulis jawi, peraduan membaca jawi, peraduan membaca sayyidul istighfar, peraduan menulis seni khat, peraduan menghafaz surah-surah lazim turut diadakan.