Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo tawar peluang lanjut pengajian tinggi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Orang ramai khususnya pelajar lepasan menengah dan pra universiti yang ingin melanjutkan pengajian serta berminat mendapatkan maklumat terkini mengenai program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi, dialu-alukan untuk mengunjungi Ekspo Pengajian Tinggi ke-10, 2025 yang akan berlangsung di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong pada 8 dan 9 Februari.

    Pada 8 Februari, ekspo berkenaan akan mula dibukakan kepada orang ramai pada pukul 10 pagi hingga 6 petang dan pada 9 Februari, ekspo akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

    Ekspo dua hari itu bermatlamat menyediakan Pusat Informasi Sehenti Pengajian Tinggi di mana institusi-institusi daripada pengajian pasca menengah, pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam dan luar negeri memberikan prospek pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di dalam negara dan antarabangsa.

    “Ekspo ini akan memberikan peluang kepada orang ramai khususnya pelajar untuk bersemuka dengan pihak institusi pengajian tinggi serta agensi-agensi sektor pendidikan bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.”

    Penerangan mengenai ekspo berkenaan disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin selaku Timbalan Pengerusi Bersama Projek Ekspo Pengajian Tinggi 2025 dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Persidangan P1, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Dayang Dina Roslina menyampaikan penerangannya semasa sidang media Ekspo Pengajian Tinggi Ke-10, 2025, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara yang hadir semasa sidang media tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau menyatakan bahawa setakat 21 Januari, sebanyak 65 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan yang terdiri daripada 15 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri, 26 buah agensi dan institusi dari luar negara, empat buah dari kedutaan dan 20 buah agensi kerajaan dan swasta.

    Ekspo itu dibukakan kepada orang awam, khususnya pelajar lepasan menengah iaitu lepasan Brunei GCE Peringkat ‘O’ dan pra universiti iaitu Brunei GCE Peringkat ‘A’ atau yang berkelulusan sebanding dengannya yang berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk mereka yang ingin mengembangkan kemahiran dengan meningkatkan kemahiran yang ada (upskilling) dan mempelajari kemahiran baharu yang lain (reskilling).

    Selain itu, institusi-institusi akan mengongsikan program-program seperti National Technical Education Certificate (NTec), Higher National Technical Education Certificate (HNTec), Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana sehingga program Ijazah Kedoktoran.

    Para pengunjung juga berpeluang mengetahui tatacara permohonan ke institusi-institusi pengajian tinggi, mendapatkan bimbingan daripada pakar pengajian tinggi, berpeluang berinteraksi secara bersemuka dengan wakil pengajian tinggi serta mendapatkan maklumat tentang peluang biasiswa.

    Kementerian Pendidikan mengalu-alukan orang awam terutamanya para pelajar dan ibu bapa untuk berkunjung ke ekspo yang akan diadakan di Dewan 1 dan 2, BRIDEX Jerudong.

    Ekspo itu akan menyediakan kemudahan letak kereta dan perkhidmatan bas ulang alik di Letak Kereta Jerudong Park Amphitheatre.

    Orang ramai boleh mendapatkan peta kedudukan lokasi perkhidmatan berkenaan di laman sesawang Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Tinggi.

    Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ekspo itu, boleh melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan, https://moe.gov.bn dan melalui akaun Instagram @moe_brunei dan @hiedbrunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda