Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport China meningkat 18 peratus

    BEIJING, 8 OGOS – Pertumbuhan eksport China terus meningkat pada Julai, mendorong lebihan dagangan mencecah rekod tinggi, menurut data kerajaan.

    Eksport China berkembang 18 peratus kepada AS$333 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan meningkat daripada 17.9 peratus pada Jun, menurut data daripada kastam China.

    Bagaimanapun, import kekal lembap, bertumbuh 2.3 peratus pada Julai berbanding setahun lalu. Ia adalah lebih rendah daripada anggaran ahli ekonomi pada 4 peratus, dan mencadangkan permintaan domestik yang lemah di tengah sekatan yang dikenakan di seluruh negara ketika China berusaha membendung wabak COVID.

    Jumlah lebihan dagangan China mencecah tahap tinggi berjumlah AS$101.3 bilion pada Julai, memecah rekod yang dicatat pada Jun.

    Ekonomi negara telah pulih pada tahun ini, apabila sekatan COVID yang ketat termasuk perintah berkurung selama dua bulan di Shanghai dan langkah lain di seluruh China menjejas pengeluaran dan logistik.

    Sementara isu rantaian bekalan dan pengeluaran telah reda, pemulihan mungkin terjejas oleh wabak COVID baharu, permintaan domestik yang lemah serta ketidakpastian unsur luar seperti inflasi meningkat di negara maju termasuk Britain dan Amerika Syarikat. – AP

    Kereta dan trak untuk dieksport diletak di sebuah pelabuhan di Yantai, timur wilayah Shandong pada 4 Januari. Lebihan dagangan China meningkat kepada AS$97.9 bilion pada Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda