Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport China merosot

    BEIJING, 8 Mei – Eksport China merosot tanpa dijangka pada April, sekali gus menambah tekanan ke atas Beijing sebelum rundingan untuk menamatkan perang tarif dengan Washington berhubung cita-cita teknologi China.

    Pengumuman data perniagaan pada hari ini keluar selepas Presiden Donald Trump mencetuskan kemelesetan pasaran kewangan global dengan ugutan mengejutkan akan mengenakan lebih banyak penalti ke atas import China.

    Eksport pada bulan April merosot 2.7% berbanding setahun lalu kepada AS$193.5 bilion, satu perubahan daripada pertumbuhan Mac sebanyak 14.2%, data kastam menunjukkan. Ia adalah jauh lebih rendah daripada ramalan pertumbuhan satu digit oleh sektor swasta.

    Import meningkat 4% kepada AS$179.6 bilion, berpulih daripada kemerosotan 7.6% pada bulan sebelumnya. Ia menambah kepada tanda-tanda di mana usaha kerajaan untuk menterbalikkan satu kemelesetan ekonomi mungkin akan menambah lagi momentum.

    Import barangan Amerika berkurangan 26% berbanding tahun sebelumnya kepada AS$10.3 bilion. Eksport ke Amerika Syarikat, pasaran asing terbesar China, meleset 13% pada AS$31.4 bilion.

    Rundingan di Washington dijangka diteruskan esok meskipun timbulnya kebimbangan Beijing mungkin menarik diri disebabkan ugutan Trump. China berkata semalam perunding ekonominya akan mengambil bahagian seperti yang dijadualkan.

    Angka perniagaan yang lemah mungkin “menambah lebih banyak tekanan kepada pemimpin daripada kedua-dua pihak untuk mencapai satu perjanjian,” kata Bank Macquarie dalam satu laporan. Ia berkata keputusan untuk menghantar Timbalan Perdana Menteri Liu He ke Washington mencadangkan “China tidak mahu rundingan menemui kebuntuan.”

    Eksport ke pasaran AS merosot 9.7% untuk empat bulan pertama tahun ini berikutan kenaikan tarif oleh Trump sebagai respon terhadap aduan bahawa Beijing mencuri atau mendesak syarikat-syarikat untuk menyerah teknologi. – AP

    Gambar fail bertarikh 28 April 2019 menunjukkan pekerja memasang tayar trak di sebuah kilang di bandar Nantong di timur wilayah Jiangsu, China. Eksport China merosot pada April di tengah perang tarif dengan Washington, menambah tekanan ke atas Beijing sehari sebelum rundingan untuk menyelesai perbalahan berhubung cita-cita teknologinya. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda