Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport China merosot buat pertama kali dalam 8 bulan

    BEIJING, 7 NOV – Eksport China mencatatkan penurunan pada Oktober buat pertama kali dalam tempoh lapan bulan, menurut data rasmi hari ini, ketika ketegangan perdagangan memuncak beberapa minggu sebelum Presiden China Xi Jinping bertemu rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

    Penghantaran keluar merosot 1.1 peratus tahun ke tahun, jauh tersasar daripada unjuran Bloomberg yang menjangkakan kenaikan 2.9 peratus.

    Import pada bulan sama meningkat 1.0 peratus, menurut Pentadbiran Am Kastam China, jauh lebih rendah berbanding bacaan September dan tidak mencapai unjuran kenaikan 2.7 peratus oleh Bloomberg.

    China dan Amerika Syarikat mencapai detik detente dalam perang perdagangan mereka selepas Xi dan Trump bertemu di Korea Selatan pada akhir Oktober.

    Pertemuan itu meletakkan jeda sementara pada beberapa bulan pertukaran tindakan balas antara dua kuasa ekonomi dan teknologi tersebut, dengan kedua-dua pemimpin bersetuju menggantung sebahagian besar langkah yang dirancang selama setahun.

    Beijing bulan lalu mengumumkan sekatan baharu terhadap eksport teknologi nadir bumi, sektor yang didominasinya dan penting bagi industri pertahanan serta pengeluar automotif.

    Trump pula bertindak balas dengan mengancam tarif tambahan 100 peratus terhadap barangan China.

    Namun ancaman itu ditarik balik selepas pertemuan Xi dan Trump pada bulan lalu di Korea Selatan, dengan pemimpin AS itu menyifatkan pertemuan pertama mereka sejak 2019 sebagai satu “kejayaan besar”.

    Washington kemudian mengurangkan tarif menyeluruh terhadap barangan China kepada 10 peratus, manakala Beijing melonggarkan sekatan eksport nadir bumi, langkah yang turut melegakan perniagaan di Eropah.

    China juga menarik balik tarif tambahan terhadap produk pertanian AS termasuk kacang soya, komoditi penting bagi para petani Amerika yang menjadi sebahagian besar penyokong Trump. – AFP

    Para pengunjung menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-8 (CIIE) di Shanghai, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda