Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Eksport China merosot ke tahap terendah

    BEIJING, 9 MEI – Pertumbuhan eksport China merosot ke tahap paling rendah dalam hampir dua tahun pada April ketika permintaan global menjadi lembap, justeru menambah tekanan ke atas ekonomi kedua terbesar dunia itu selepas Shanghai dan bandar-bandar industri lain ditutup untuk membendung wabak virus.

    Eksport merosot 3.7 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada AS$273.6 bilion, merosot mendadak daripada pertumbuhan 15.7 peratus yang dicatat pada Mac, menurut data kastam hari ini.

    Mencerminkan permintaan lemah di China, import meningkat 0.7 peratus kepada AS$222.5 bilion, sejajar dengan pertumbuhan bulan sebelumnya di bawah satu peratus.

    Permintaan untuk eksport China menerima tekanan daripada inflasi tinggi dan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan pasaran utama lain serta ketidakpastian pengguna mengenai prospek ekonomi dan prospek pekerjaan.

    Penganalisis menjangka aktiviti industri China meningkat pada bulan ini ketika jangkitan berkurangan, namun Presiden Xi Jinping pada minggu lalu mengesahkan komitmen Beijing terhadap kempen ‘sifar COVID’, mendorong jangkaan ia akan membebani sektor pengeluaran, runcit serta perniagaan.

    Eksport ke Amerika Syarikat meningkat 9.5 peratus kepada AS$46 bilion meskipun kenaikan tarif berlarutan dalam usaha mengawal cita-cita teknologi Beijing. Manakala import produk AS meningkat 0.9 peratus kepada AS$13.8 bilion.

    Lebihan dagangan global China meningkat sebanyak 19.4 peratus kepada AS$51.1 bilion sementara lebihan dengan AS menyusut 65 peratus kepada AS$9.8 bilion.

    Pengurus Pelabuhan Shanghai, pelabuhan paling sibuk di dunia, berkata ia beroperasi seperti biasa, tetapi angka yang dipetik mereka untuk jumlah kargo yang dikendalinya merosot 30 peratus daripada biasa.

    Firma perkapalan itu berkata mereka mengelak menggunakan pelabuhan berkenaan disebabkan kebimbangan tidak ada pemandu trak yang cukup untuk menghantar barangan mereka. – AP

    Gambar serahan Xinhua menunjukkan kapal kontena dari Jepun berlabuh di dok Pelabuhan Yangshan Shanghai di timur China pada 27 April 2022. Pertumbuhan eksport China merosot pada April selepas Shanghai ditutup untuk membendung wabak COVID. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...