HANOI, 20 JUN – Vietnam memperoleh lebih AS$500 juta daripada eksport durian dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, bersamaan dengan lonjakan 18 kali ganda berbanding setahun lalu, lapor agensi berita Vietnam, hari ini.
Negara tersebut mengeksport lebih 65,000 tan durian dalam tempoh Januari hingga Mei, meningkat 41 peratus daripada jumlah keseluruhan 2022, dengan China membeli 97 peratus daripada penghantaran, menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.
Durian Vietnam memasuki musim menuai pada Mei, justeru nilai eksport buah itu mencecah rekod tertinggi 332 juta dolar, lebih 10 kali ganda lebih tinggi berbanding April.
Selera China terhadap buah tropika sangat besar. Tahun lepas, negara tersebut mengimport 825,000 tan durian, menurut data kastam China.
Negara Asia Tenggara itu kini mempunyai 293 kawasan pertanian dan 115 kemudahan pembungkusan durian yang diberikan kuota rasmi untuk dieksport ke China.
China kekal sebagai pasaran terbesar bagi buah-buahan dan sayur-sayuran Vietnam dalam tempoh Januari hingga Mei dengan penghantaran bernilai AS$805 juta, menyumbang 59 peratus daripada jumlah perolehan eksport Vietnam, lebih tinggi daripada 53 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut Persatuan Buah & Sayur Vietnam.
Buah-buahan dan sayur-sayuran Vietnam mungkin akan bertambah kira-kira 20 peratus kepada AS$4 bilion tahun ini kerana negara itu dijangka menyaksikan eksport ke China meningkat kepada AS$2.5 bilion, kata Setiausaha Agung, Dang Phuc Nguyen dari Persatuan Buah & Sayur Vietnam. – Xinhua


