KOTA GAZA, WILAYAH PALESTIN, 10 SEPT – Eksport Semenanjung Gaza ke Israel dilanjutkan hari ini ketika Israel membuka semula lintasan sempadan utama perdagangan, kata seorang pegawai Palestin, beberapa hari setelah ditutup atas dakwaan berlaku cubaan menyeludup bahan letupan dari kawasan pantai.
Lintasan Kerem Shalom, satu-satunya pintu masuk barang antara Gaza dan Israel, ditutup minggu lalu selepas tentera Israel berkata ia menemui bahan letupan tersembunyi dalam penghantaran pakaian yang dibawa dalam tiga trak.
Ketua tentera Israel, Herzi Halevi Isnin lalu mengarahkan penghentian serta-merta semua penghantaran komersial dari Gaza ke Israel berikutan dakwaan percubaan untuk ‘menyeludup bahan letupan berkualiti tinggi’.
Semenanjung Gaza yang dihuni kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin dilanda kemiskinan berada di bawah sekatan darat, udara dan laut yang ketat dikenakan oleh Israel, dikawal oleh kementerian pertahanannya di semua sempadan.
Pagi tadi pintu masuk Kerem Shalom dibuka kembali, kata Raeed Fattouh, Ketua Jawatankuasa Presiden untuk Penyelarasan Barang, yang bergabung dengan parti Fatah Presiden Palestin, Mahmud Abbas.
“Beberapa trak, termasuk satu sarat dengan pakaian dan yang lain penuh dengan besi buruk, memasuki persimpangan pagi ini dan menuju ke sebelah Israel,” katanya kepada AFP.
Pihak berkuasa Israel tidak memberikan komen segera. – AFP
