Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Eksport, import China alami kemerosotan

    HONG KONG, 7 SEPT – Eksport China merosot pada kadar yang lebih perlahan pada bulan Ogos, walaupun ekonomi kedua terbesar dunia itu kekal di bawah tekanan daripada permintaan yang lemah di dalam dan luar negara.

    Eksport pada bulan Ogos merosot sebanyak 8.8 peratus dari tahun sebelumnya, berjumlah AS$284.87 bilion dan lebih perlahan daripada penurunan sebanyak 14.5 peratus bulan lepas, menurut data hari ini.

    Import turun sebanyak 7.3 peratus dari tahun sebelumnya kepada AS$216.51 bilion, tetapi mengatasi ramalan konsensus penurunan sebanyak 9 peratus.

    Lebihan perdagangan China menyusut sebanyak 13.2 peratus kepada AS$68.36 bilion, lebih rendah daripada AS$80.6 bilion pada bulan Julai.

    Pemimpin China baru-baru ini melancarkan beberapa langkah dasar untuk mengukuhkan ekonomi selepas pemulihan selepas COVID-19 mereda lebih awal daripada yang dijangka.

    Kontena menunggu untuk diangkut di limbungan Yantai di wilayah Shandong timur China pada 6 Ogos. – AP

    Namun, pihak berkuasa masih belum mengumumkan perbelanjaan rangkaian besar atau pemotongan cukai.

    Permintaan terhadap eksport China semakin lemah setelah Fed dan bank pusat di Eropah dan Asia mula meningkatkan kadar faedah tahun lalu untuk mengekang inflasi yang mencatat paras tertinggi dalam beberapa dekad.

    Eksport ke Amerika Syarikat (AS) merosot 17.4 peratus dari tahun sebelumnya kepada AS$45.03 bilion, manakala import barang-barang AS turun 4.9 peratus kepada AS$11.98 bilion.

    Pembelian China daripada tenaga Rusia meningkat sebanyak 13.3 peratus dari tahun sebelumnya kepada AS$11.52 bilion. Permintaan China terhadap tenaga Rusia telah meningkat, membantu untuk menampung pendapatan yang hilang akibat sekatan Barat yang dikenakan sebagai hukuman kepada Kremlin kerana pencerobohan Ukraine.

    Eksport ke Kesatuan Eropah merosot sebanyak 10.5 peratus dari tahun sebelumnya kepada AS$41.29 bilion, manakala import barang-barang Eropah menurun 2.5 peratus kepada AS$24.56 bilion. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...