TOKYO, 22 OKT – Eksport Jepun meningkat sebanyak 4.2 peratus pada September, menurut data kerajaan Jepun hari ini, diso-kong oleh penghantaran kukuh ke Asia yang mengimbangi penurunan eksport ke Amerika Syarikat (AS) susulan tarif dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Eksport Jepun ke Asia melonjak 9.2 peratus bulan lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut data Kementerian Kewangan Jepun.
Eksport ke AS pula merosot 13.3 peratus, menandakan penurunan tahun-ke-tahun selama enam bulan berturut-turut, manakala eksport ke China meningkat 5.8 peratus berbanding tahun lalu.
Penghantaran kenderaan ke AS jatuh sebanyak 24.2 peratus pada September. Syarikat pengeluar kereta seperti Toyota Motor Corp. merupakan tonggak utama ekonomi Jepun.
Import Jepun pula meningkat 3.3 peratus secara keseluruhan pada September, dengan pertumbuhan sebanyak 6 peratus di rantau Asia termasuk kenaikan 9.8 peratus dalam import dari China.
Hasil dapatan itu diumumkan sehari selepas Sanae Takaichi dipilih melalui undian parlimen sebagai Perdana Menteri baharu Jepun, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Beliau dikenali dengan pandangan konservatif berhaluan nasionalis, namun turut dianggap penyokong dasar perbelanjaan awam yang lebih besar, langkah yang telah mendorong kenaikan harga saham di Tokyo dalam beberapa sesi dagangan kebelakangan ini. – AP


