Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport Korea S 2024 catat rekod tertinggi

    SEOUL, 1 JAN – Hasil eksport Korea Selatan mencecah rekod tertinggi tahun lepas berikutan permintaan kukuh bagi semikonduktor buatan tempatan dan produk teknologi lain, menurut data kerajaan negara berkenaan hari ini.

    Hasil eksport yang menyumbang kira-kira separuh daripada ekonomi negara, meningkat 8.2 peratus sepanjang tahun kepada
    AS$683.76 bilion pada 2024, mengatasi paras tertinggi sebelumnya sebanyak AS$683.6 bilion pada 2022, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga .

    Purata eksport harian berkembang 8.2 peratus untuk mencapai paras tertinggi baharu sebanyak AS$2.53 bilion dolar tahun lepas.

    Import pula menurun 1.6 peratus kepada AS$631.99 bilion pada 2024, menyebabkan lebihan dagangan kepada AS$51.77 bilion. Imbangan perdagangan berubah daripada defisit AS$10.3 bilion dolar pada 2023.

    Daripada 15 barangan eksport utama negara, lapan produk menyaksikan pengembangan dalam penghantaran keluar.

    Eksport semikonduktor melonjak 43.9 peratus sepanjang tahun untuk mencapai paras tertinggi baharu sebanyak AS$141.92 bilion pada 2024. Pertumbuhan dua angka itu disebabkan oleh permintaan untuk cip mewah seperti DDR5 dan memori lebar jalur tinggi yang digunakan dalam set cip kecerdasan buatan (AI) generatif.

    Penghantaran peranti mudah alih melonjak 11.2 peratus kepada AS$17.19 bilion disebabkan oleh pengeluaran produk baharu, dan eksport panel paparan menambah 0.9 peratus kepada AS$18.75 bilion.

    Eksport komputer melonjak 76.7 peratus kepada AS$13.16 bilion berikutan permintaan yang stabil untuk solid-state drive.

    Penghantaran automotif pula susut 0.1 peratus kepada AS$70.79 bilion pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, manakala eksport alat ganti kereta susut 1.8 peratus kepada AS$22.55 bilion. – Xinhua

    Eksport Korea Selatan meningkat. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda