SEOUL, 1 JAN – Pendapatan eksport Korea Selatan mencatatkan rekod tertinggi tahun lalu disebabkan permintaan yang kukuh untuk semikonduktor buatan tempatan dan produk teknologi lain, menurut data kerajaan yang dikeluarkan hari ini.
Pendapatan eksport, yang menyumbang kira-kira separuh daripada ekonomi yang bergantung kepada eksport, meningkat 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencecah AS$683.76 bilion pada 2024, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya sebanyak AS$683.6 bilion pada 2022, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
Eksport purata harian berkembang 8.2 peratus untuk mencecah AS$2.53 bilion pada tahun lalu.
Import merosot 1.6 peratus kepada AS$631.99 bilion pada 2024, mendorong lebihan perdagangan meningkat kepada AS$51.77 bilion. Imbangan dagangan mencatat pemulihan daripada defisit AS$10.3 bilion pada 2023.
Daripada 15 barangan eksport utama negara itu, lapan produk mencatat peningkatan dalam hantaran luar negara.
Eksport semikonduktor melonjak 43.9 peratus berbanding tahun lalu untuk mencapai rekod baharu sebanyak AS$141.92 bilion pada 2024.
Pertumbuhan dua angka itu dikaitkan dengan permintaan untuk cip canggih seperti DDR5 dan memori jalur lebar tinggi yang digunakan dalam cipset kecerdasan buatan generatif.
Sementara itu, penghantaran peranti mudah alih meningkat 11.2 peratus kepada AS$17.19 bilion disebabkan oleh pelancaran produk baharu, manakala eksport panel paparan menambah 0.9 peratus kepada AS$18.75 bilion. – Xinhua