SEOUL, 21 MEI – Eksport Korea Selatan merosot sebanyak 2.4 peratus dalam tempoh 20 hari pertama bulan Mei.
Perkara ini sebahagiannya disebabkan oleh jualan yang sangat rendah ke Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mengenakan dan juga mengurangkan sebahagian tarif secara menyeluruh, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Bulan lalu, eksport negara itu menunjukkan prestasi yang tidak dijangka, didorong permintaan kukuh terhadap semikonduktor walaupun tarif AS menjejaskan perdagangan.
Namun, tanda-tanda awal menunjukkan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat mula memberi kesan kepada industri utama Korea Selatan yang lain termasuk automotif yang dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.
Menurut data Perkhidmatan Kastam Korea, eksport Korea Selatan berjumlah AS$32 bilion dari 1 hingga 20 Mei, menurun 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penghantaran ke AS, iaitu sekutu utama Seoul telah merosot kira-kira 14.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh tersebut, manakala eksport ke China dan Kesatuan Eropah masing-masing jatuh sebanyak 7.2 peratus dan 2.7 peratus.
Susulan pusingan kedua rundingan perdagangan peringkat menteri minggu lalu, Seoul kini mengadakan perbincangan teknikal di peringkat kerja dengan Washington, dengan matlamat untuk mendapatkan pengecualian tarif sepenuhnya menerusi pakej perdagangan yang dijangka dimuktamadkan pada awal Julai.
Mengulas rundingan tarif dengan Washington, Cheong berkata, “Kami akan terlibat secara aktif, untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan, dengan mengutamakan kepentingan negara.” – AFP
