Eksport Malaysia kembali pulih

KUALA LUMPUR, 28 JULAI – Prestasi eksport Malaysia telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada kesan COVID-19 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion pada Jun 2020.

Sementara itu, lebihan dagangan pula berjumlah RM20.9 bilion, terbesar sejak Oktober 2019.

“Ini merupakan lebihan dagangan terbesar dicatatkan sejak Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion,” kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Import bagaimanapun merosot 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM61.98 bilion.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM144.8 bilion pada bulan berkenaan, berkembang sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun.

Beliau mengaitkan pertumbuhan itu kepada peningkatan eksport ke China (RM4.7 bilion), Amerika Syarikat (RM2.1 bilion) dan Hong Kong (RM1.4 bilion).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (RM4.5 bilion), keluaran getah (RM1.8 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.5 bilion), barangan optik dan saintifik (RM993.6 juta) dan jentera, peralatan dan kelengkapan (RM951.4 juta). – Bernama