Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Jumlah nilai eksport Negara Brunei Darussalam mencatatkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus bagi tahun 2024, didorong oleh kenaikan indeks nilai unit eksport sebanyak 0.7 peratus dan indeks volum eksport sebanyak 12.4 peratus.
Peningkatan pada indeks nilai unit eksport disumbangkan oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan, barang-barang keluaran kilang dan bahan api galian. Sementara itu, indeks volum eksport meningkat berikutan kenaikan dalam eksport bahan api galian, bahan kimia dan minuman.
Namun, pada suku keempat (Q4) 2024, indeks volum eksport menurun sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Penurunan ini dipengaruhi oleh penyusutan dalam eksport jentera dan kelengkapan pengangkutan (-23.4 peratus), bahan api galian (-4.6 peratus) dan bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan (-4 peratus).
Kesannya, jumlah nilai eksport menurun daripada $4,177.3 juta pada Q4 2023 kepada $3,371.8 juta pada Q4 2024.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengongsikan perkara berkenaan dalam siaran akhbar mengenai Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Q4 2024 dan Tahunan 2024, Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Indeks nilai unit eksport juga mencatatkan penurunan sebanyak 13.8 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, dipacu oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-20.3 peratus), bahan api galian (-14 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-8.1 peratus).

Jumlah nilai import bagi tahun 2024 pula mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus.
Ini disebabkan oleh kejatuhan indeks nilai unit import sebanyak 3.6 peratus, walaupun indeks volum import meningkat sebanyak 0.9 peratus.
Indeks nilai unit import menurun akibat penyusutan dalam barang-barang keluaran kilang (-8.4 peratus), bahan kimia (-6.4 peratus) dan bahan api galian (-5.2 peratus).
Sementara itu, peningkatan dalam indeks volum import didorong oleh kenaikan dalam barang-barang keluaran kilang (7.6 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.2 peratus) serta bahan api galian (0.5 peratus).
Pada Q4 2024, indeks nilai unit import mencatatkan penurunan sebanyak 13.2 peratus, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam nilai unit import barang-barang keluaran kilang (-28.6 peratus), bahan kimia (-21.8 peratus) dan bahan api galian (-21.2 peratus).
Walau bagaimanapun, indeks volum import pada Q4 2024 meningkat sebanyak 0.8 peratus, dengan sumbangan daripada barang-barang keluaran kilang (5.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (4.2 peratus) dan makanan (3 peratus).
IMTI mencerminkan perubahan dalam nilai unit dan kuantiti komoditi import serta eksport Brunei dalam tempoh tertentu.
Indeks ini turut berperanan dalam menganalisis pasaran global yang berdaya saing serta digunakan untuk membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.
Laporan penuh IMTI bagi Q4 2024 dan Tahunan 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.