Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Eksport negara meningkat Q3

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Jumlah eksport Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 32.2 peratus pada suku ketiga (Q3) 2022 berbanding Q3 2021, iaitu daripada $3,923.2 juta kepada $5,187.5 juta.

    Peningkatan itu adalah disebabkan kenaikan indeks nilai unit eksport sebanyak 41.8 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan indeks bahan api galian iaitu 43.8 peratus, makanan iaitu 25.4 peratus dan minuman iaitu 17.3 peratus.

    Kenaikan harga produk-produk berkenaan di pasaran dunia adalah antara faktor utama kepada peningkatan indeks nilai eksport.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, menerusi laporan Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Q3 2022.

    Terma perdagangan bagi Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29.2 peratus pada Q3 2022 berbanding Q3 2021, terutamanya didorong oleh pertumbuhan indeks bahan kimia sebanyak 30.4 peratus, diikuti oleh makanan iaitu 25.3 peratus dan minuman iaitu 9.4 peratus.

    Indeks volum eksport pula mencatatkan penurunan sebanyak 25.9 peratus berbanding Q3 2021 yang disumbangkan oleh penurunan indeks volum eksport bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan iaitu 39.8 peratus, bahan kimia iaitu 36.5 peratus dan pelbagai barang keluaran kilang iaitu 29 peratus.

    Jumlah nilai import pada Q3 2022 meningkat sebanyak 23.3 peratus berbanding Q3 2021 yang didorong oleh kenaikan indeks nilai unit import dan indeks volum import masing-masing sebanyak 9.8 peratus dan 1.3 peratus.

    Peningkatan indeks nilai unit import itu terutamanya disumbangkan oleh indeks bahan api galian iaitu 42.1 peratus, minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran 37 peratus serta barang keluaran kilang 30.7 peratus.

    Manakala, kenaikan indeks volum import adalah disumbangkan oleh peningkatan indeks volum import makanan iaitu 17.6 peratus, bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan 7.5 peratus dan barang keluaran kilang 6 peratus.

    IMTI menunjukkan trend nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu.

    Indeks itu juga boleh digunakan dalam menganalisis daya saing negara, mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    Laporan penuh IMTI bagi Q3 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn/.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...