Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Penurunan indeks nilai unit eksport sebanyak 4.8 peratus dicatatkan pada suku pertama (Q1) 2023, yang mengakibatkan penurunan jumlah nilai eksport sebanyak 12 peratus daripada $4,420.0 juta, kepada $3,890.0 juta.
Ini adalah disumbangkan oleh penurunan pada indeks Bahan Kimia (9.9 peratus), Bahan Api Galian (4.7 peratus) dan Pelbagai Barang Keluaran Kilang (4.4 peratus).
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menjelaskan, penurunan harga produk-produk tersebut di pasaran dunia adalah di antara faktor utama kepada penurunan indeks nilai unit eksport.
Manakala, dari segi indeks volum eksport pula, penurunan sebanyak 3.3 peratus telah dicatatkan pada Q1 2023, yang disebabkan oleh penurunan pada indeks Barang Keluaran Kilang (28.8 peratus), Pelbagai Barang Keluaran Kilang (19.9 peratus) dan Bahan Api Galian (3.0 peratus).
Penurunan indeks volum import sebanyak 2.8 peratus dicatatkan pada Q1 2023, yang mengakibatkan penurunan jumlah nilai import sebanyak 12.4 peratus.
JPES turut menjelaskan, penurunan indeks volum import tersebut adalah terutamanya disumbangkan oleh penurunan pada indeks Barang Keluaran Kilang (16.8 peratus), Bahan Api Galian (16.7 peratus) dan Bahan Galian Yang Tidak Boleh Dimakan (6.9 peratus).
Sementara itu, indeks nilai unit import pula meningkat sebanyak 0.8 peratus, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan pada indeks Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (11.6 peratus).
Terma perdagangan bagi negara telah mencatatkan penurunan sebanyak 5.5 peratus pada Q1 2023, yang didorong oleh penurunan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak 14.4 peratus, Bahan Kimia (8.1 peratus) dan Makanan (1.7 peratus).
Laporan penuh Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Q1 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.