KAHERAH, 3 FEB – Eksport produk makanan diproses Mesir mencecah rekod AS$6.1 bilion pada 2024, menandakan pertumbuhan 21 peratus berbanding 2023, lapor Xinhua, memetik Majlis Eksport Makanan (FEC) negara itu kelmarin.
“Ini adalah nilai eksport tertinggi dalam sejarah sektor itu, mengesahkan daya saing produk makanan Mesir dalam pasaran global, disokong oleh usaha kerajaan untuk meningkatkan eksport bukan minyak,” kata Pengerusi FEC Mahmoud Bazan dalam satu kenyataan.
Negara Arab kekal sebagai pengimport utama produk makanan diproses Mesir, dengan pembelian bernilai kira-kira AS$3.28 bilion, menyumbang 54 peratus daripada jumlah eksport pada 2024, meningkat 20 peratus daripada 2023, menurut kenyataan itu.
Diikuti Kesatuan Eropah di tempat kedua dengan nilai import kira-kira AS$1.17 bilion atau 19 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, mencatat peningkatan 32 peratus. Negara-negara bukan Arab Afrika pula mengimport makanan diproses Mesir bernilai AS$513 juta atau 8 peratus daripada jumlah keseluruhan, mencatatkan pertumbuhan 10 peratus, menurut kenyataan itu.
Antara negara individu, Arab Saudi mendahului dengan AS$491 juta dalam import makanan proses Mesir, diikuti oleh Sudan, Libya, Amerika Syarikat dan Palestin. Belanda mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi, dengan nilai import meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$259 juta pada 2024.
Produk makanan diproses Mesir yang paling banyak dieksport pada 2024 termasuk pati minuman ringan, tepung dan semolina, gula, strawberi beku, minyak makan, jus buah-buahan, sayur-sayuran beku dan kentang beku, menurut kenyataan FEC. – Bernama/Xinhua