SEOUL, 19 MAC – Syarikat makanan Korea Selatan, Samyang Foods Inc mengumumkan bahawa eksportnya melepasi angka 1 trilion won buat kali pertama tahun lalu, didorong oleh permintaan global yang semakin meningkat terhadap mi pedas ‘Buldak’.
Eksport luar negara syarikat itu mencatatkan jumlah 1.34 trilion won pada 2024, meningkat 65 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap.
Angka itu menyumbang 77 peratus daripada keseluruhan jualan tahunan Samyang Foods yang berjumlah 1.73 trilion won, menurut kenyataan syarikat.
Lonjakan eksport dikaitkan dengan peningkatan populariti produk mi pedasnya di pasaran antarabangsa, terutamanya di Amerika Syarikat dan China.
Samyang Foods mendedahkan bahawa kira-kira 1 bilion unit Buldak Bokkeummyeon, yang lebih dikenali sebagai ‘fire ramyeon’ dijual setiap tahun di lebih 100 negara.
Sejak diperkenalkan pada 2012, jumlah jualan mi segera berperisa ayam pedas itu mencatat rekod melebihi 7 bilion unit, menjana pendapatan melebihi 4 trilion won.
Mi Buldak meraih pengiktirafan global selepas tahap kepedasannya yang ekstrem mencetuskan cabaran makan pedas yang tular pada 2014. – Bernama
