SINGAPURA, 17 SEPT – Eksport Singapura merosot sekali lagi pada Ogos menurut perangkaan rasmi yang diterbitkan hari ini, apabila penghantaran ke pasaran terbesarnya Amerika Syarikat (AS) dan China terus menurun.
Hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia itu telah terjejas oleh ketegangan perdagangan yang menyaksikan mereka mengenakan tarif timbal balik antara satu sama lain, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global.
Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, Singapura banyak bergantung pada perdagangan, menjadikannya mudah terdedah kepada kemelesetan global walaupun ia hanya berdepan tarif asas 10 peratus daripada langkah Presiden AS, Donald Trump.
Eksport domestik bukan minyak Singapura menyusut sebanyak 11.3 peratus pada Ogos 2025, lebih cepat daripada kejatuhan 4.7 peratus pada Julai 2025, kata badan Enterprise Singapura.
Eksport ke AS merosot hampir 29 peratus bulan lalu, melanjutkan penurunan 42.8 peratus Julai lepas, dengan kejatuhan mendadak dalam penghantaran elektronik dan bukan elektronik.
Eksport penyediaan makanan seperti sos ke AS turun sebanyak 97.1 peratus, manakala penghantaran jentera khusus merosot sebanyak 71.3 peratus dan produk media cakera merosot sebanyak 60 peratus.
Eksport ke China menyusut sebanyak 21.5 peratus, lebih tinggi daripada penurunan 12.3 peratus pada Julai, dengan penghantaran jentera khusus jatuh hampir 42 peratus dan litar bersepadu merosot 36.8 peratus.
Eksport ke China bagi emas yang digunakan untuk tujuan perindustrian, merosot sebanyak 96.1 peratus. – AFP


