Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport Vietnam catat rekod baharu didorong momentum kuat

    HANOI, 7 NOV – Syarikat-syarikat Vietnam mencatat rekod baharu dalam pelbagai bidang, memperlihatkan momentum eksport yang kukuh bukan sahaja memperluas perdagangan tetapi turut mengukuhkan kedudukan Vietnam dalam rantaian bekalan global, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Setakat 15 Oktober, kumpulan komputer dan elektronik menjana hasil eksport hampir AS$82 bilion, dengan jumlah keseluruhan diunjur melebihi AS$86 bilion menjelang akhir bulan, mencatat paras tertinggi baharu.

    Lonjakan tempahan sejak separuh kedua tahun lalu, khususnya pada suku ketiga 2025, telah membantu kumpulan itu menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport Vietnam.

    Sektor elektronik sahaja menyumbang secara signifikan kepada jumlah keseluruhan eksport negara, yang dianggarkan mencecah AS$390 bilion selepas 10 bulan yang meningkat sebanyak AS$14 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan kadar pemulihan dan pengembangan pasaran yang menggalakkan.

    Kumpulan jentera, peralatan, alat ganti dan komponen turut menunjukkan kemajuan ketara, dengan nilai eksport mencecah AS$48 bilion dalam tempoh berkenaan, meningkat hampir 13.5 peratus tahun ke tahun. Ia diunjurkan menambah lagi antara AS$6.5 bilion hingga AS$7 bilion dalam baki bulan tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar AS$55 bilion.

    Prestasi kukuh dua sektor perindustrian utama ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan eksport negara walaupun permintaan global masih belum pulih sepenuhnya.

    Sektor pertanian juga mencatat peningkatan memberangsangkan, khususnya kopi yang menikmati peningkatan dari segi jumlah dan harga.

    Setakat 15 Oktober, Vietnam telah mengeksport 1.27 juta tan kopi dengan pendapatan AS$7.2 bilion. Harga purata eksport mencecah AS$5,658 satu tan, meningkat 45 peratus berbanding tahun lalu.

    Eropah kekal sebagai pembeli utama kopi Vietnam, mengimport 710,000 tan bernilai lebih AS$4 bilion, dengan 27 negara Kesatuan Eropah (EU) sahaja menyumbang 40.1 peratus daripada jumlah eksport kopi Vietnam dan 39.4 peratus daripada nilainya. – Bernama/Vna

    Biji kopi dari Dang Nok, Vietnam. Eksport Vietnam catat rekod baharu. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda