SANDAKAN, 5 Mei – Bandar Sandakan akan digegarkan dengan sambutan Ekspresi Negaraku pada Ahad ini yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, program sambutan itu akan diadakan secara besar-besaran bagi mengalu-alukan penglibatan semua rakyat Sabah untuk sama-sama menjiwai semangat cintakan negara. Justeru, orang ramai khususnya di daerah itu dipelawa untuk tidak melepaskan peluang turut serta memeriahkan lagi acara sambutan itu kerana pelbagai aktiviti menarik telah disediakan pada program Ekspresi Negaraku, katanya dalam kenyataan hari ini .
Salleh berkata, Ekspresi Negaraku merupakan satu daripada aktiviti di bawah inisiatif Negaraku yang menyediakan platform bagi rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui semangat patriotisme, kebanggaan, kecintaan dan aspirasi terhadap negara.
“Warga Sabah yang penuh semangat , sertai kami dalam Larian Bendera Negaraku sejauh tiga kilometer bagi melambangkan tenaga dan komitmen pada negara Malaysia. “Orang ramai juga dijemput untuk menyertai acara senamrobik di bawah bimbingan FIT Malaysia. Ayuh hidup aktif dan bawa bersama keluarga dan teman untuk bersenam sambil menyemarakkan semangat cinta kepada negara,” katanya.
Pada program yang bermula 6 pagi hingga 10.30 malam di Padang Bandaran Sandakan, orang ramai berpeluang menemui dan berkongsi cerita serta pengalaman bersama tokoh ikon Negaraku Sabah. Antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo, Wong Siew Te, Nuhairi Kinta (malim gunung yang mengetuai 130 pendaki dalam ekspedisi Gunung Kinabalu pada 2015) dan Mejar Noremazuan Nordin (Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang menyertai Ops Daulat di Lahad Datu). – Bernama