Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja muncul johan Pertandingan Peringkat Akhir Dekon sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 pada pertandingan yang berlangsung di pentas perayaan kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja di ibu negara malam tadi.
Tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab manakala Sekolah St Andrew di tempat ketiga. Sekolah Menengah Chung Hwa dan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima. Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan Dekon itu dihasratkan dapat menanamkan semangat jati diri dan cintakan agama, bangsa dan negara dalam diri pelajar selain memberikan pendedahan serta mengetengahkan bakat pelajar dalam bidang pengucapan sastera khususnya deklamasi puisi dan lakonan.
Pertandingan menggabungkan deklamasi puisi yang dijadikan teks berserta gerak lakonan itu disertai 15 orang pelajar dari lima buah sekolah menengah dan maktab yang dihakimi daripada gerak lakonan, ekspresi, mimik muka, ayunan tangan, bahasa badan dan sebagainya bagi membentuk cerita berdasarkan inti pati teks puisi yang digunakan.

