NANNING – Mengungkapkan “saya cinta padamu” untuk melahirkan rasa yang tersirat di dalam hati merupakan satu langkah yang cukup berani namun kaum wanita di Gungxi, Wilayah Autonomi Zhuang telah lama mempraktikkan cara lebih halus dan tersendiri iaitu dengan memberikan bola yang diperbuat daripada sutera sebagai simbolik kepada ungkapan itu.
Penduduk tempatan di Guangxi yang kebanyakannya terdiri daripada etnik minoriti yang cukup menghargai seni dan lagu-lagu rakyat malah bola sutera berwarna-warni dihasilkan oleh mereka juga telah lama menjadi lambang kebudayaan di Guangxi yang sering ditampilkan dalam acara kebudayaan Cina.
Jiuzhoujie merupakan sebuah bandar kecil di sempadan Guangxi dan tempat asal kepada bola sutera. Hampir setiap penduduk di kawasan tersebut memiliki kemahiran untuk menghasilkan seni bola sutera dan bandar tersebut menghasilkan lebih dari 300,000 lambang romantik tersebut pada setiap tahun.
Kaum wanita tempatan sering kali dapat dilihat duduk di beranda dengan menggayakan pakaian tradisi dan cukup kreatif dalam mencipta seni jahitan dan sulaman bola-bola sutera itu untuk dijual kepada para pelancong.
Li Li,40, merupakan salah seorang penggiat seni bola sutera di wilayah tersebut. Dia mewarisi kemahiran tersebut daripada ibu mertuanya dan turut menurunkan ilmu tersebut kepada tiga orang anak perempuannya.


Malah dia juga turut menguruskan sebuah kedai yang menawarkan bebola sutera dalam pelbagai warna.
Li menjelaskan bahawa untuk menyiapkan satu bola sutera boleh memakan masa selama 15 hari dan ia sepenuhnya dihasilkan dengan buatan tangan tanpa sebarang bantuan mesin di mana plaster dapat dilihat pada jarinya sekali gus memperlihatkan kegigihannya dalam melakukan pekerjaan tersebut sehingga ada kalanya membuatkan jarinya terluka.
Sejarah pembuatan bola sutera ini dipercayai telah wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu namun pada asalnya ia tidak digunakan sebagai perlambangan dalam mengungkapkan rasa cinta.
Pada asalnya, ia diperbuat daripada gangsa dan digunakan sebagai sejenis senjata dalam peperangan.
Inovasi telah dilakukan bagi menzahirkan benda tersebut dalam bentuk lembut dan menghasilkannya dengan sutera malah ada yang turut mengisinya dengan beras dan bijirin.
Pada kebiasaannya ia memiliki 12 kelopak atau beg sutera yang berbentuk kon di mana pada suatu ketika dahulu ia diisi dengan kacang merah dan bijirin sebagai tanda pemberian sekali gus mengharapkan penerimanya bernasib baik.
“Penerimanya digambarkan bakal menerima hasil jualan berganda dan cinta sejati,” jelas Li Fuqiang yang merupakan pakar dalam seni pembuatan bola sutera.
Gandum tersebut telah digantikan dengan habuk papan bagi menjadikan bola sutera tersebut menjadi lebih ringan dan mudah untuk dibawa dari satu tempat ke tempat yang lainnya.
Malah ada juga yang turut mengisi bola sutera tersebut dengan ramuan dan herba ubat yang harum bagi menggandakan nilai pemberian tersebut.
Bola sutera itu bukan sekadar melambangkan warisan budaya bahkan ia juga merupakan kunci kepada sesuatu perkembangan dalam kewangan.
Pada kebiasaannya, ia dijual pada harga serendah 15 yuan dan ada kalanya mencecah setinggi 200 yuan.
Kebanyakan pesanan yang diterima oleh Li berasal daripada hasil jualan secara dalam talian dan pendapatan hasil jualan bola sutera tersebut ada kalanya mencecah sehingga 3,000 yuan setiap tahun.

Terdapat juga individu yang menganggap bola tersebut memiliki nilai sentimental yang tersendiri.
Huang Xiaoqin, 73 merupakan seorang tukang kayu terkemuka di bandar tersebut.
Dia mempelajari kemahiran sulamannya sejak usia remajanya dan tetap mengenang adat berpacaran yang pernah diamalkan iaitu Membaling Bola Sutera.
Lelaki dan wanita akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan menyanyikan lagu secara beriringan. Sekiranya salah seorang wanita itu tertarik dengan seseorang lelaki itu, dia akan membalingkan bola tersebut untuk ditangkap oleh salah seorang lelaki dalam kumpulan tersebut.
Lelaki yang menerima bola tersebut akan membalingkan semula bola tersebut yang turut dikat dengan hadiah istimewa dan sekiranya wanita itu menerima ha-diah tersebut ia juga menandakan bahawa wanita itu juga sudi untuk berpacaran.
Sehingga kini, bola sutera tetap popular malah ia juga turut membantu dalam meningkatkan pelancongan di China. Malah Huang juga turut mula mengajarkan kemahiran tersebut kepada generasi muda.
Huang juga telah dicalonkan sebagai wakil penggiat seni tersebut oleh kerajaan tempatan Guangxi pada tahun 1997. Dia juga berjaya menguasai kemahiran unik dikenali sebagai ‘duixiu’ yang memerlukan kemahiran jahitan cukup terperinci sehingga berjaya menzahirkan imej 3D pada bola sutera yang dihasilkan.
Menghasilkan bola sutera serumit tersebut ada kalanya memakan masa selama sebulan dan hanya sebilangan sahaja pelajar yang memiliki ketabahan untuk meluangkan masa selama tempoh tersebut.
“Saya sangat menyanjungi rekaan bola sutera yang dihasilkan pada sekitar tahun 1980an kerana ia memiliki reka bentuk yang cukup menarik, indah dan sangat cantik berbanding dengan yang ditonjolkan pada masa kini yang kelihatan biasa sahaja,” jelas Wang Weiqun
Begitu juga dengan ungkapan rasa cinta individu pada masa kini yang lebih ramai menonjolkannya melalui kemewahan sebagai lambang kasih sayang berbanding usaha dan kesabaran yang ditonjolkan melalui ekspresi ditampilkan pada bola sutera. – Xinhua