Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    El Chapo cuba bunuh saya empat kali – Martinez

    NEW YORK, 29 Nov – Bekas juruterbang dari Mexico dan sahabat Joaquin ‘El Chapo’ Guzman semalam mendedahkan semasa perbicaraan raja dadah itu bagaimana defendan cuba membunuhnya sebanyak empat kali.

    Miguel Angel ‘El Gordo’ Martinez telah diserahkan semula kepada Amerika Syarikat (AS) pada 2001 dan diarahkan untuk memberi keterangan semasa perbicaraan Guzman di Brooklyn.

    Syarat untuk program perlindungan saksi yang membolehkannya mendapatkan identiti baharu di AS adalah bekerjasama dengan pihak kerajaan.

    Martinez mendakwa bahawa dia berjuang habis-habisan menentang penghantaran semula itu dan pada ketika itu, dia mengakui bahawa dia tidak akan mengkhianati bekas kawannya itu, namun Guzman mengarahkan supaya dia dibunuh.

    “Saya tidak pernah menyebut Guzman, saya tidak pernah menggagalkannya, saya tidak pernah mencuri darinya, saya tidak pernah mengkhianatinya, saya menjaga keluarganya dan apa yang saya dapat adalah empat cubaan serangan ke atas saya,” ujarnya.

    Martinez bekerja untuk Guzman bagi kartel Sinaloa sebagai orang penting di Bandar Mexico, memperoleh sekurang-kurangnya AS$3 juta dan hampir menjadi penagih dadah kelas A yang menyebabkan hidungnya perlu dirawat.

    Menurutnya, dia memberikan keterangan itu tanpa kerelaannya, bimbang Guzman mengarahkan cubaan bunuh kali kelima.

    Martinez mendakwa bahawa dia diberikan kaunseling dengan ahli psikologi yang dicadangkan oleh kerajaan AS atas sebab kerisauannya. “Saya tidak boleh tidur,” katanya.

    Menurut Martinez, empat kali cubaan bunuh itu berlaku di penjara Mexico semasa ditahan pada 1998 dan semasa dia tiba di AS pada 2001.

    Tiga kali cubaan bunuh itu adalah dengan cara menikam. Cubaan ketiga adalah dia ditikam di bahagian muka sebanyak enam kali. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda