Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    El Nino berterusan hingga April 2024

    GENEVA, 8 NOV – Fenomena cuaca El Nino, yang mencetuskan suhu global yang lebih tinggi, dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya April 2024, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    El Nino ialah pola iklim yang berlaku secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia serta kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain.

    Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB berkata El Nino semasa, yang berkembang pesat pada Julai-Ogos tahun ini, berkemungkinan memuncak antara sekarang dan Januari.

    “Terdapat 90 peratus kemungkinan ia akan berterusan sepanjang musim sejuk hemisfera utara atau musim panas hemisfera selatan,” katanya dalam kemas kini terbaharunya, sambil menambah ia dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya April.

    Fenomena cuaca biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun, dan ia biasanya meningkatkan suhu global pada tahun selepas ia mula terbentuk.

    Namun, sementara kebanyakan kesan El Nino dijangka tidak akan dirasai sehingga 2024, WMO menekankan bahawa fenomena itu berlaku dalam konteks perubahan iklim yang pesat.

    Pada masa ini, tahun terpanas pernah direkodkan ialah 2016  tahun selepas El Nino yang amat kuat berkembang tetapi dunia sudah berada di landasan untuk mengatasi rekod itu.

    “Akibat rekod suhu darat dan permukaan laut yang tinggi sejak Jun, tahun 2023 kini berada di landasan untuk menjadi tahun paling panas dalam rekod,” kata Ketua WMO, Petteri Taalas

    dalam kenyataan itu, memberi amaran bahawa ‘tahun depan mungkin lebih panas’.

    “Ini jelas disebabkan sumbangan kepekatan gas rumah hijau yang memerangkap haba yang semakin meningkat daripada aktiviti manusia,” katanya. – AFP

    Gambar fail menunjukkan komuniti tepi sungai membawa makanan dan bekas air minuman disebabkan kemarau dan suhu tinggi berterusan di Sungai Solimoes di Careiro da Varzea, Brazil pada 24 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda