KUALA LUMPUR, 7 JULAI – El Nino dijangka meningkat pada penghujung tahun ini hingga awal tahun depan dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia memaklumkan kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 4 Julai lepas, serta memberitahu bahawa fenomena tersebut terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah Celcius berbanding nilai purata jangka panjang.
“Fenomena El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.
Pada awal 2024, fenomena El Nino dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak dengan negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan,” menurut MetMalaysia dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan kesan daripada fenomena El Nino itu akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.
Oleh itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan. – Bernama


