SAN SALVADOR, 10 SEPT – El Salvador telah merampas bungkusan yang mengandungi 1.4 tan kokain terapung di Lautan Pasifik, kata Presiden Nayib Bukele kelmarin, menyifatkan tindakan itu sebagai serangan ‘terhadap penyeludupan dadah antarabangsa’.
Tambah beliau, bungkusan itu telah ditemui kira-kira 1,600 kilometer barat daya El Cordoncillo di muara estuari Jaltepeque berhampiran pantai Pasifik El Salvador.
Rampasan itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengisytiharkan perang terhadap penyeludup dadah Amerika Latin dan menyifatkan kartel sebagai organisasi ‘pengganas’.
Kartel jenayah antarabangsa menggunakan Amerika Tengah sebagai pintu masuk untuk penyeludupan dadah, terutamanya kokain, ke AS.
Trump telah menghantar beberapa kapal perang ke arah Venezuela, menuduh kerajaan negara itu terlibat dalam perdagangan dadah, dan mengarahkan serangan misil ke atas sebuah bot dadah yang disyaki, menyebabkan 11 orang terbunuh. – AFP










