Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    El Salvador setuju terima penjenayah AS

    SAN SALVADOR, 4 FEB – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berkata lewat kelmarin bahawa Presiden El Salvador telah menawarkan untuk menerima orang yang diusir dari AS tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk penjenayah Amerika yang kini dipenjarakan di AS.  
     
    Presiden El Salvador, Nayib Bukele “telah bersetuju dengan perjanjian migrasi yang paling luar biasa, di mana-mana sahaja di dunia,” kata Rubio selepas bertemu dengan Bukele di rumahnya di tepi tasik di luar San Salvador selama beberapa jam.  
     
    “Kami boleh menghantar mereka dan beliau akan meletakkan mereka di penjaranya,” kata Rubio mengenai pendatang dari semua negara yang ditahan di AS. “Dan, beliau juga menawarkan untuk melakukan perkara yang sama untuk penjenayah berbahaya yang kini dalam tahanan dan menjalani hukuman mereka di AS walaupun mereka adalah warganegara AS atau penduduk sah.”  
     
    Rubio mengunjungi El Salvador untuk mendesak kerajaan yang mesra itu untuk melakukan lebih banyak tindakan bagi memenuhi tuntutan Presiden AS, Donald Trump bagi tindakan keras terhadap imigresen.  
     
    Bukele mengesahkan tawaran itu dalam satu posting di X, berkata El Salvador telah “menawarkan AS peluang untuk mengalih sebahagian daripada sistem penjaranya.” Beliau berkata negara beliau hanya akan menerima ‘penjenayah yang disabitkan kesalahan’ dan akan mengenakan bayaran yang “agak rendah untuk AS tetapi signifikan bagi kami, menjadikan seluruh sistem penjara kami mampan.”  
     
    Elon Musk, bilionair yang bekerjasama dengan Trump untuk merombak kerajaan persekutuan, memberi respons di platform X beliau, “Idea yang hebat!”  
     
    Selepas Rubio bercakap, seorang pegawai AS berkata pentadbiran Trump tiada rancangan untuk cuba menghantar warganegara AS, tetapi mengatakan tawaran Bukele adalah signifikan. Kerajaan AS tidak boleh mendeportasi warganegara AS dan tindakan tersebut akan menghadapi cabaran undang-undang yang besar.  
     
    Jabatan Negara menggambarkan penjara El Salvador yang penuh sesak sebagai ‘kejam dan berbahaya’. Pada laman web maklumat negara semasa, ia berkata, “Dalam beberapa fasiliti, peruntukan untuk kebersihan, air bersih, pengudaraan, kawalan suhu dan pencahayaan adalah tidak mencukupi atau tidak wujud saama sekali.” – AP
     
    Marco Rubio bertemu dengan Nayib Bukele di kediamannya di Tasik Coatepeque, El Salvador, pada 3 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda