Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    El Salvador tangani isu kucing, anjing terbiar

    SAN SALVADOR – Selepas berjaya menumpaskan kumpulan samseng di bawah perintah darurat yang berlanjutan lebih tiga tahun, Presiden El Salvador, Nayib Bukele kini menumpukan perhatian kepada satu lagi masalah berterusan, namun lebih lembut sifatnya iaitu ribuan kucing dan anjing terbiar di negaranya.

    “Ribuan anjing dan kucing hidup di jalanan kita. Kami mahu mengubah keadaan itu, tetapi tanpa kekejaman.

    “Kami mempunyai sumber kewangan, namun kami mencari rakan pakar bagi menjadikannya contoh teladan untuk Amerika Latin,” tulis Bukele di platform X pada 8 Oktober lalu. “Siapa yang ingin datang membantu?”

    San Salvador berdepan masalah yang turut dihadapi banyak bandar di Amerika Latin, di mana kucing dan anjing bebas berkeliaran di jalanan tanpa penjagaan.

    Anjing sering dilihat berbaring di atas jalan bertar panas, melintas laluan enam lorong dengan cekap seolah-olah ia taman permainan, atau mencari sisa makanan di tepi pasar.

    Kucing-kucing yang diselamatkan sedang makan di pusat perlindungan tersebut. – AP
    Rafaela Perez memegang seekor kucing buta bernama Zeus di pusat perlindungan haiwan Hogar Buena Fortuna yang diusahakannya dari rumahnya di Mejicanos, El Salvador. – AP
    Rafaela Perez bermain dengan seekor kucing yang diselamatkan dan dijaganya di pusat perlindungan haiwan Hogar Buena Fortuna. – AP
    Seekor kucing yang diselamatkan bernama Amira sedang berehat di pusat perlindungan berkenaan. – AP
    Rafaela Perez memeluk seekor kucing bernama Milagro. – AP

    Namun, kebanyakannya kekurangan zat, sakit, atau cedera ketika mencari makanan dan air untuk terus hidup.

    Belum jelas apakah bentuk penyelesaian yang diinginkan Bukele, seorang pemimpin kontroversi yang gemar mencipta sensasi dengan jentera komunikasi kerajaan yang mantap, tetapi beliau diketahui suka menangani masalah besar dengan penyelesaian berskala besar.

    Selain itu, pemimpin milenial itu dilihat mempunyai hati terhadap haiwan terbiar. Ketika menjadi Datuk Bandar San Salvador, beliau pernah mengangkat seekor anjing terbiar bernama Cyan sebagai haiwan peliharaan.

    Di pusat perlindungan Good Fortune Rescue di Zacamil, utara ibu negara, Rafaela Perez berkata tindakan segera perlu diambil “kerana jumlah haiwan terbiar yang dilihat setiap hari dan dilaporkan di media sosial hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar.”

    “Kita perlu ubah budaya buruk membuang haiwan kerana mereka juga makhluk hidup,” katanya.

    Bukele dan sekutunya telah mengambil beberapa langkah menangani kekurangan institusi awam yang menjaga haiwan, yang selama ini ditampung oleh organisasi bukan kerajaan dengan dana terhad.

    Pada tahun 2021, kerajaan yang dikuasai parti New Ideas memperkenalkan undang-undang yang menjadikan penderaan haiwan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara antara dua hingga empat tahun serta denda.

    Setahun kemudian, pentadbirannya membuka hospital veterinar awam pertama di rantau itu, Chivo Pets Hospital, yang menawarkan perkhidmatan dengan bayaran simbolik 25 sen atau bersamaan dalam Bitcoin.

    Patricia Madrid dari Fundacion Gratitud, ketua organisasi yang menumpukan kepada program pemandulan dan penjagaan haiwan jalanan, berkata beliau bersama enam sukarelawan lain telah lama bekerja membantu anjing terbiar di kawasan Salcoatitan, kira-kira 80 kilometer dari ibu negara.

    Namun, mereka berdepan kekangan kewangan kerana bergantung pada sumbangan seorang warga El Salvador yang menetap di Amerika Syarikat.

    Madrid berharap organisasinya dapat bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuh usaha tersebut.

    Belum jelas dari mana sumber dana bagi projek terbaru Bukele akan diperoleh. Beliau sebelum ini mendakwa mendapat keuntungan daripada pelaburan Bitcoin, namun negara itu kini berdepan beban hutang meningkat dan baru-baru ini menerima pinjaman AS$1.4 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Bukele sebelum ini juga mendapatkan bantuan China bagi membina sebuah perpustakaan awam moden di dataran utama San Salvador.

    Cadangan kebajikan haiwan itu turut mendapat pujian antarabangsa, termasuk daripada Niall Harbison, seorang pempengaruh media sosial yang berpangkalan di Thailand yang mengisytiharkan dirinya “dengan misi menyelamatkan anjing jalanan di seluruh dunia” melalui kempen pengumpulan dana bagi program pemandulan.

    Harbison membalas seruan Bukele di platform X dengan menulis bahawa beliau “sangat ingin berbincang tentang cara membantu” dan sanggup terbang ke El Salvador bagi melihat peluang kerjasama.

    “Saya sentiasa mencari sebuah negara yang mahu bekerjasama untuk membuktikan bagaimana kerjasama sektor awam dan swasta boleh berfungsi dengan berkesan hingga boleh dijadikan contoh oleh negara lain,” tulis Harbison.

    “Jom lakukan,” balas Bukele, yang terkenal dengan kemahirannya menguasai media sosial. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda