El Shaarawy leburkan harapan Napoli

MILAN, 19 APRIL – Usaha Napoli untuk meraih kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh 32 tahun terjejas semasa perlawanan kelmarin apabila Stephan El Shaarawy menjaringkan gol penyamaan minit akhir untuk memberikan Roma satu mata setelah seri 1-1.

Gol penalti awal Lorenzo Insigne nampaknya telah meletakkan Napoli, di tangga ketiga, berada di landasan betul untuk merapatkan jurang hanya dua mata di belakang pendahulu, AC Milan dengan baki lima perlawanan, tetapi jaringan lewat El Shaarawy menyebabkan mereka ketinggalan empat mata.

Juara bertahan, Inter Milan berada dua mata di belakang pesaing dekat mereka yang berada di tempat kedua tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Napoli, pasukan kendalian Luciano Spalletti, berharap untuk menjulang Scudetto pertama sejak kemenangan kedua yang diterajui oleh Diego Maradona pada tahun 1990, tetapi keputusan seri itu boleh menjadi penentu pada penghujung kempen tersebut.

“Terdapat sedikit kekecewaan,” kata Spalletti kepada DAZN. “Kami tidak berjaya menguasai perlawanan seperti yang diharapkan pada penghujung perlawanan dan kami melepaskan satu gol.”

Reaksi Stephan El Shaarawy (tengah) selepas menjaringkan gol dalam perlawanan Serie A antara Napoli dan Roma di stadium Diego Armando Maradona. – AFP

Pungutan mata tersebut tidak banyak membantu dalam usaha Roma untuk menduduki tangga kelompok empat teratas dan terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan di tangga keempat, Juventus kepada tiga mata.

Keputusan itu menjejaskan harapan Napoli, berikutan dengan kekalahan 3-2 di tempat sendiri kepada Fiorentina.

Napoli mendahului perlawanan pada minit ke-11 di stadium Diego Armando Maradona selepas Hirving Lozano membawa bola ke dalam kotak penalti dan berlaku kekasaran dari belakang oleh pemain pertahanan Roma, Roger Ibanez.

Pengadil pada mulanya tidak memberikan penalti tetapi selepas tinjauan semula VAR, dia telah memberikan sepakan penalti kepada Napoli dan Insigne memilih sudut bawah untuk menjaringkan gol liga kesembilannya pada musim ini.

Pasukan tuan rumah boleh menggandakan kedudukan mereka pada minit ke-20 tetapi rembatan Victor Osimhen berjaya dihalang oleh Chris Smalling dan penjaga gol pasukan pelawat, Rui Patricio menafikan percubaan susulan Lozano. – AFP