Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak berhutang, hidup sederhana

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Walaupun agama Islam tidak melarang umatnya untuk berhutang tetapi ia bukanlah suatu perkara yang digalakkan, ini kerana agama Islam menasihatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada berhutang kecuali jika keadaan yang mendesak dan sangat memerlukan.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menegaskan, jika terpaksa berhutang, orang yang berhutang tersebut hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan dan bukannya sewenang-wenangnya berhutang tetapi apabila tiba tempoh pembayaran, mereka selalu bertangguh-tangguh untuk melangsaikan hutang berkenaan sehingga kalang kala terjadinya perkelahian dan permusuhan.

    Beliau seterusnya menambah, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang berhutang untuk membayar hutangnya, sebagaimana perjanjian yang telah dipersetujui antara orang yang memberi hutang dan orang yang berhutang.

    “Kewajipan membayar hutang ini termasuk juga bagi pembayaran bil yang tertunggak seperti bil air, bil elektrik, bayaran perumahan dan seumpamanya,” tegasnya.

    Khatib dalam khutbah menjelaskan, tidak dinafikan terdapat juga sebahagian orang yang berhutang tidak dapat membayar hutangnya disebabkan sumber kewangan yang kurang mencukupi tetapi mereka hendaklah sentiasa berusaha dan mencari ikhtiar untuk menjelaskan semua hutang yang ada.

    “Ini kerana Allah akan memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang yang ingin melunaskan hutangnya.”

    Menurut khatib, perbuatan memandang ringan kewajipan membayar hutang bukan saja akan menyusahkan si penghutang itu di dunia, malah akan mengheret kepada kerugian dan kesusahan di akhirat kelak, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berhutang apabila dia mati sebelum sampai melunaskan hutangnya dan ahli keluarganya pula tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang tersebut.

    Orang yang meninggal dunia dalam keadaan masih belum melunaskan hutangnya, pada hari kiamat kelak, segala amal kebaikan dan kebajikan akan diambil dan digunakan untuk melunaskan hutangnya.

    Seandainya belum juga mencukupi, segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang itu pula akan dipindahkan kepada orang yang berhutang tersebut.

    Khatib seterusnya menambah, terdapat adab-adab yang boleh diikutkan supaya tidak terhimpit dengan beban tanggungan hutang yang banyak dan ini antaranya ialah berhutang jika hanya benar-benar terpaksa bagi keperluan yang penting dan tidak dapat dielakkan.

    Kedua, mengelakkan diri menambah hutang sebelum terlunas hutang yang terdahulu dan ketiga, sekiranya telah tiba tempoh pembayaran dan belum juga mampu untuk melunaskan hutang tersebut, hendaklah berbincang dengan elok untuk meminta penangguhan.

    Keempat, memberi maklumat kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas, tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang.

    Janganlah disebabkan belum mampu untuk membayar hutang, si pemiutang dilayan bagaikan musuh atau orang asing. Ini kerana terdapat segelintir orang yang melarikan diri daripada membayar hutang, bersembunyi, tidak dapat dihubungi, tidak dapat dikesan dan bersikap acuh tidak acuh sehingga menyebabkan si pemiutang pula yang terpaksa terkejar-kejar menuntut hak mereka.

    Kelima, merancang perbelanjaan dengan lebih teliti dan mengutamakan keperluan utama serta mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan berbelanja dengan berhemah.

    Keenam, menjaga hubungan baik dengan pemiutang dalam masa yang sama pemiutang juga hendaklah bertimbang rasa kepada yang berhutang yang benar-benar dalam kesulitan untuk melunaskan hutangnya.

    Sebagai orang Islam, biarlah kita hidup dengan sifat qanaah iaitu hidup berpada-pada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian. Elakkan diri kita daripada amalan suka berhutang, amalkanlah sikap bersederhana dalam berbelanja dan janganlah kita turuti kata hati dan hawa nafsu kerana berhutang itu memang mudah dan senang, tetapi membayarnya pula adalah amat berat dan sangat susah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda