Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Elak dijerat cinta palsu media sosial

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Penipuan atau sindiket romance scam kian meningkat sejak kebelakangan ini dan ramai wanita tertipu atas alasan cinta. Sindiket ini sering menyasarkan individu kesunyian dengan menggunakan media sosial.

    Romance scam adalah satu modus operandi di mana penipu mencipta identiti palsu untuk memperdaya mangsa atau memanipulasi emosi mangsa demi menjalinkan hubu-ngan palsu agar mereka memberikan wang atau maklumat peribadi.

    Matlamat utama penipu ini adalah untuk mendapatkan kepercayaan dan simpati supaya mangsa memindahkan wang, membocorkan maklumat sensitif atau melakukan aktiviti haram bagi pihak penipu.

    “Penipuan cinta adalah satu bentuk penipuan dalam talian yang licik. Kesedaran dan kewaspadaan adalah perkara yang terbaik untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan ini.

    Maka, sebelum berkenalan atau mendekati seseorang terutamanya dalam apa sahaja platform media sosial, awda perlu berhati-hati sebelum terjebak menjadi mangsa!,” itulah antara saranan yang ditekankan oleh Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob khususnya kepada para pengguna media sosial.

    Kenal pasti bagaimana romance scam berlaku. – GAMBAR SERAHAN CSB
    ATAS & BAWAH: Antara risiko terhadap mangsa penipuan. – GAMBAR SERAHAN CSB
    GAMBAR SERAHAN CSB
    ATAS & BAWAH: Ciri-ciri romance scam. – GAMBAR SERAHAN CSB
    GAMBAR SERAHAN CSB

    Beliau berkata demikian semasa ditemui penulis bagi menghuraikan lebih lanjut mengenai topik Waspada Penipuan Percintaan dalam Talian, baru-baru ini.

    SASARAN MANGSA ROMANCE SCAM

    Jika diajukan soalan mengenai siapakah golongan yang sering menjadi mangsa romance scam, Dayang Siti Nor Izuana berkata semua golongan boleh menjadi sasaran si penipu iaitu dengan menyasarkan sesiapa sahaja yang difikirkan boleh dimanipulasikan oleh mereka.

    “Mangsa-mangsa yang berpotensi tinggi untuk terjebak dalam taktik jenayah dalam talian jenis ini kebiasaannya mereka yang berada dalam keadaan kesunyian, kemurungan, kehilangan pasangan hidup, dan juga insan-insan yang mengalami masalah peribadi bersama pasangan mereka,” ujarnya.

    KETAHUI BAGAIMANA ROMANCE SCAM BERLAKU

    Demi mencapai misi jenayah, Dayang Siti Nor Izuana mengongsikan lanjut bahawa si penipu berusaha menyelidiki mangsa melalui media sosial untuk mendapatkan maklumat peribadi di samping turut mencipta profil palsu dengan gambar dan maklumat palsu bagi berkomunikasi dengan mangsa.

    Setelah seseorang penjenayah itu mendapatkan kepercayaan mangsa, dari situlah ia akan memulakan hubungan dengan memanipulasi emosi mangsa dengan mengatur beberapa strategi termasuklah mencipta krisis palsu yang dialami seperti kecemasan perubatan, masalah kewangan atau masalah keluarga.

    “Kebiasaannya permintaan bantuan kewangan secara beransur-ansur meningkat daripada si penipu, seiring dengan alasan mendesak seperti bil perubatan atau kos perjalanan. Turut terjadi di mana seseorang penjenayah itu menggalakkan mangsa untuk merahsiakan hubungan mereka bagi mengurangkan kemungkinan campur tangan orang lain. Mungkin seseorang mangsa menyedari penipuan itu namun penjenayah boleh terus memanipulasinya dengan taktik tertentu untuk meraih kepercayaan kembali,” tekannya.

    CIRI-CIRI ROMANCE SCAM

    Menyentuh mengenai ciri-ciri romance scam, Dayang Siti Nor Izuana menjelaskan salah satunya adalah identiti palsu di mana si penjenayah menggunakan maklumat orang lain sebagai milik sendiri seperti gambar profil menarik termasuk imej seorang pelakon atau model dan kebiasaannya mereka hanya memiliki beberapa gambar dan rakan yang terhad dalam pengisian media sosial mereka.

    Selain itu, menjalin hubungan jarak jauh di mana si penipu mengaku berada di negara lain, sukar disahkan atau bertemu secara peribadi, dan sering mengelak panggilan telefon mahupun beralasan talian mengalami masalah teknikal atau sambungan Internet yang lemah juga antara ciri romance scam.

    Begitu juga, si penipu mulai mengorak langkahnya meminta sesuatu seperti wang pinjaman sebelum bertemu di mana kebiasaannya bermula dengan jumlah yang kecil.

    Penipu juga didapati menggunakan taktik manipulasi emosi, eksploitasi kesepian dan keinginan untuk bersama seperti dengan berkongsi cerita palsu bagi meraih simpati mangsa.

    “Perlu diketahui juga si penipu cuba menjalin hubungan rapat cepat, menyatakan cinta dan komitmen yang tidak biasa di mana mereka menyatakan perasaan mendalam selepas beberapa hari berkomunikasi. Selain itu, mereka sering memberikan maklumat atau butiran tidak konsisten mengenai kehidupan mereka kepada mangsa,” kongsi beliau.

    Di akhir temu bual, Dayang Siti Nor Izuana secara ringkas menyarankan kepada semua pengguna media sosial untuk sentiasa peka dalam menjaga privasi masing-masing, jangan sesekali mendedahkan butiran peribadi di media sosial dan pastikan sentiasa berwaspada bagi mengenali seseorang dalam talian serta jangan menekan pautan mahupun memuat turun fail sewenang-wenangnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...