Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak guris hati sesiapa

    Pelakon, Sharnaaz Ahmad, 34, menyifatkan gosip mengatakan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, memfailkan perceraian seperti dilaporkan sebuah portal hiburan, baru-baru ini, hanya bersifat andaian.

    Kata Sharnaaz juga, dia belum bersedia untuk mengulas perkara berkenaan kerana tidak mahu kenyataannya mengguris hati mana-mana pihak.

    “Lagipun, saya tidak berani hendak bercakap banyak mengenainya kerana takut ia boleh memudaratkan lagi keadaan. Saya sedar, saya banyak bercakap apabila perkara sebegini berlaku. Perkara ini membabitkan keluarga. Saya tidak mahu kenyataan saya nanti merosakkan hubungan kedua-dua keluarga dan anak,” katanya kepada media baru-baru ini.

    Dalam temu bual itu juga, bintang Juvana ini sempat mengucapkan selamat hari lahir buat anak lelakinya, Jebat Jayden, yang berusia setahun, baru-baru ini. Lebih mengujakan Sharnaaz, dia berkongsi tarikh hari lahir sama dengan permata hatinya itu.

    Desas-desus mengatakan Noor Nabila memfailkan perceraian timbul selepas wanita itu memuat naik foto sebuah lokasi yang dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta. Perkongsian dibuatnya itu, baru-baru ini, seperti memberikan bayangan rumah tangga mereka yang dibina pada 31 Mac 2017 dilanda badai.

    Ketika ditemui, Sharnaaz berkata, walau apa sahaja yang berlaku, Jebat akan tetap berada dalam hatinya sehinggalah dia menutup mata. Sementara itu, Wangi yang akan menemui penonton di pawagam pada 5 September ini menyaksikan Sharnaaz berlakon di sisi dua Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia, iaitu Erra Fazira dan Nabila Huda.

    Filem bercorak seram dan cemas itu berkisar pada watak Nor lakonan Erra yang kembali ke Malaysia kerana melahirkan anak kedua. Dia kemudian menyedari kehilangan adik angkatnya, Bella (Nabila) yang penuh misteri. Selain mereka, filem arahan Yeop Hitler itu turut dibintangi Mia Nasir, Syazwan Zulkifly, Nik Adam Mika dan Ruminah Sidek. – Agensi

    Sharnaaz belum bersedia untuk mengulas perkara berkenaan kerana tidak mahu kenyataannya mengguris hati mana-mana pihak. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda