Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Amalan berhutang kini menjadi keperluan dalam sebahagian kehidupan manusia, antaranya untuk membiayai pembelian rumah kediaman, kenderaan, tanah, modal menjalankan perniagaan dan pelbagai keperluan lain.
Manakala dari sudut syarak pula, Islam mengharuskan untuk berhutang kerana ia merupakan salah satu bentuk muamalah dalam Islam, namun hendaklah bagi tujuan yang memberikan manfaat dan dengan syarat ia dijalankan berdasarkan syariat.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai hutang, menekankan bahawa Islam juga mengajar umatnya cara mengurus pendapatan dan perbelanjaan dengan betul iaitu dengan bersederhana.
Jika dihayati dan mengikuti ajaran agama Islam dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan, sudah pasti tidak akan terjebak dan terbelenggu dalam beban hutang yang banyak, jelasnya.
Walaupun Islam tidak melarang umatnya berhutang, tetapi ia bukanlah satu perkara yang digalakkan kerana Islam menasihatkan umatnya supaya menghindarkan amalan suka berhutang.

Khatib seterusnya menyatakan, “Jika terpaksa juga berhutang, hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang kerana bukan senang berhutang, apabila tiba masanya untuk membayar, kita selalu bertangguh-tangguh dan ada kalanya langsung tidak mahu membayar sehingga menyebabkan perkelahian dan permusuhan.”
Hutang adalah janji yang telah dimeterai dan sudah menjadi kewajipan bagi orang yang berhutang untuk membayar hutangnya atau memulangkan harta tersebut dan haram hukumnya sekiranya ingkar untuk melunaskannya.
Khatib menjelaskan, tidak dinafikan terdapat juga segelintir orang yang berhutang dan tidak dapat membayar hutang disebabkan sumber kewangan yang kurang mencukupi.
“Mereka hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menjelaskan semua hutang yang ada, ini kerana Allah SWT akan memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang yang ingin melunaskan atau melangsaikan hutangnya,” katanya.
Selain itu, orang yang berhutang juga wajib memaklumkan kepada ahli warisnya akan hutangnya dibayar sekiranya beliau meninggal dunia dan belum sempat melunaskan hutangnya, ini kerana dosa hutang tidak akan diampunkan oleh Allah selagi tidak dijelaskan.
Terdapat beberapa sebab atau punca kenapa seseorang itu dilimpahi tanggungan hutang sehingga akhirnya ia sendiri tidak mampu membayarnya atau keberatan untuk melunaskannya walaupun sebenarnya ia mempunyai kemampuan.
Ini antaranya kurang iman iaitu kurang pengetahuan agama dan kurang ketaatan untuk mengikuti syariat, selain terlalu terikut-ikut dengan trend semasa, terlalu banyak berhutang walaupun untuk perkara yang tidak penting dan tidak diperlukan.
Selain itu, ada yang berhutang bagi tujuan bermewah-mewah atau suka menunjuk kemahuan, suka melengah-lengahkan membayar hutang sedangkan ia sudah mampu untuk melunaskan, hutang yang bertindih-tindih sedangkan hutang terdahulu belum lagi selesai dilunaskan, tambah khatib.
Menurut khatib, antara sebab lain orang berhutang ialah kerana mereka tidak mampu melunaskan hutang, berhutang kerana perkara haram dan ditegah serta kurang bijak dalam mengatur perbelanjaan serta kurang bijak menilai mana yang lebih utama.
Seterusnya, khatib turut berkongsi adab yang boleh diikuti supaya dipermudahkan untuk melunaskan hutang dan tidak terhimpit dengan tanggungan hutang.
Antaranya ialah hanya berhutang sekiranya benar-benar terpaksa bagi keperluan yang penting dan tidak dapat dielakkan, mengelak menambah hutang sebelum melunasi hutang terdahulu dan berbincang dengan baik untuk meminta penangguhan pembayaran hutang.
“Selain itu, maklumkan kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas serta tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang,” jelasnya.
Khatib turut mengingatkan, jangan disebabkan belum mampu membayar hutang, si pemiutang dilayan bagaikan musuh atau orang asing.
Beliau juga menasihatkan untuk merancang perbelanjaan dengan teliti dan mengutamakan keperluan dan meninggalkan keinginan yang tidak penting.
Selain itu, menanamkan sifat qanaah dan sebagai orang Islam biarlah hidup dengan sifat qanaah iaitu hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian.
Khatib seterusnya mengingatkan kepada semua supaya tidak terjebak dengan hutang piutang yang banyak, hendaklah mengukur baju di badan sendiri dan janganlah mudah terpengaruh dengan budaya hidup yang serba mewah, kerana kita hidup di dunia biarlah berpada-pada dan bersederhana.
“Jangan terlalu menurut kata hati dan hawa nafsu kerana berhutang itu memang mudah tetapi membayarnya adalah amat berat dan sangat susah,” tegasnya.

