KUALA LUMPUR, 2 JAN – Rakyat perlu lebih berhati-hati dan meneliti kesahihan maklumat atau berita yang diterima, agar tidak menjadi mangsa kepada berita palsu serta jenayah penipuan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Beliau berkata era pendigitalan kini membolehkan maklumat dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan tujuan jahat, terutamanya menerusi maklumat yang disebarkan di platform media sosial.
Oleh itu, Teo berkata rakyat perlu lebih celik dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima, sebelum bertindak ke atasnya atau berkongsi dengan orang lain, kerana ia berpotensi menjadi suatu ancaman sekiranya ia berita palsu atau ada unsur penipuan.
Beliau berkata orang ramai boleh mengguna pakai pelbagai saluran yang disediakan kerajaan untuk mengesahkan kesahihan maklumat atau berita. – Bernama


