Saya yang sering pulang lewat malam akibat tuntutan kerja kerap berhadapan dengan pelbagai gelagat pemandu di jalan raya.
Namun baru-baru ini, saya mengalami satu insiden yang amat mengecewakan iaitu seorang pemandu kereta di lebuh raya memandu secara cuai dan berbahaya, melakukan aksi membelok secara mengejut dan memintas lorong tanpa memberi isyarat, seolah-olah jalan itu miliknya seorang.
Apa yang lebih menyedihkan, apabila saya memberi isyarat bunyi hon sebagai tanda hati-hati, pemandu tersebut bukannya memperlahankan kenderaan, malah seolah-olah mempersendakan saya dengan terus mengulang-ulang perbuatan membelok secara mengejut, seakan cuba mengintimidasi pengguna jalan raya lain. Sikap seperti ini bukan sahaja tidak beretika, malah membahayakan nyawa orang lain.
Perbuatan buli di jalan raya seperti ini semakin membimbangkan. Ia bukan sekadar soal kecuaian, tetapi menunjukkan kurangnya rasa hormat dan empati sesama pengguna jalan raya.
Bayangkan jika ada penunggang motosikal atau keluarga membawa anak damit mengalami situasi tersebut, akibatnya boleh menjadi sangat tragik.
Saya menyeru agar pihak berkuasa terus mempergiat rondaan terutamanya pada waktu malam, bagi mengekang pemandu berbahaya seperti ini.
Pada masa sama, kita perlu lebih bertanggungjawab dan berhemah di jalan raya. Sedikit kesedaran dan tolak ansur boleh menyelamatkan banyak nyawa.
Pemandu Santai







