“Terpulang kepada orang ramai di luar sana untuk membuat andaian mereka sendiri berhubung penampilan saya ini. Apa yang pasti, mereka yang mengikut perkembangan saya di media sosial sudah mendapat jawapan masing-masing.”
Demikian kata pelakon, Amyra Rosli, 28, berhubung penampilan terbaharunya selepas pulang daripada mengerjakan umrah bersama suami, Amar Baharin, dan anak lelaki mereka, Aqeef Anaqi.
Bintang Nur terbabit juga lebih suka mengambil pendekatan mendiamkan diri kerana enggan merumitkan keadaan dengan sebarang isu, berkaitan penampilan terkininya.
“Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengenai imej ini kerana saya masih belajar. Apatah lagi, saya terikat dengan banyak komitmen kerja. Saya bimbang ia akan menimbulkan kekeliruan, sekali gus merumitkan keadaan pada masa hadapan.
“Malah, Amar sendiri tidak berani memberikan kenyataan berhubung penampilan terbaharu saya. Doakan yang baik-baik sahaja buat kami sekeluarga,” kata Amyra kepada media.
Menerusi perkongsian di laman sosial Intagramnya, semalam, Amyra memuat naik beberapa keping foto dirinya mengenakan tudung sewaktu menjadi tetamu sebuah program hiburan. Penampilannya itu tentu sahaja mendapat perhatian peminat, dengan rata-rata memuji keayuan pelakon terbabit apabila tampil berhijab.
Sementara itu, Amyra turut berkongsi, perjalanan menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah dipermudahkan biarpun kehamilan hampir mencecah tujuh bulan. Dia dan suami serta anak berada di sana selama 12 hari, bermula 16 Oktober lalu. – Agensi
